Anda di sini

Inisiatif baharu perkukuh keselamatan di Sabah

Advertisement
 Hishamuddin (dua, kanan) merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau di sebuah hotel semalam. — Gambar Bernama

PERASMIAN: Hishamuddin (dua, kanan) merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau di sebuah hotel semalam. — Gambar Bernama

Tambahan kepada pelbagai inisiatif menyeluruh ketika ini

TAWAU: Kementerian Pertahanan akan melaksanakan inisiatif baharu bagi memperkukuhkan lagi keselamatan di Sabah termasuk daripada ancaman kumpulan militan Daesh dan pencerobohan, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata inisiatif tersebut merupakan tambahan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif menyeluruh yang sedang dilaksanakan ketika ini melibatkan tiga cabang perkhidmatan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tentera darat, tentera laut dan tentera udara.

Katanya menerusi inisiatif baharu itu, antara lain Tentera Darat merancang untuk menempatkan Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di FELDA Sahabat bagi memantapkan pertahanan darat di kawasan tersebut.

“Tentera Darat turut akan menerima 20 buah kenderaan perisai 4×4 (Lipan Bara) di mana kenderaan ini dilengkapi dengan senjata Gatling Gun dan akan ditempatkan di Lahad Datu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tawau, di sini, semalam.

Menurutnya ATM telah mengenal pasti lima lokasi yang perlu diberi tumpuan untuk mengawal dan memantau perairan pantai timur Sabah.

Katanya, lokasi itu akan menempatkan Sistem Pemantauan Pesisir Pantai menggunakan radar AESA Spexer 2000 yang dilengkapi dengan Sistem Identifikasi Automatik (AIS), Electro-Optical (EO) dan peralatan ‘bandwidth management’.

Selain itu, bagi mengukuhkan pertahanan udara Sabah, Hishammuddin berkata empat buah lagi helikopter Agusta A109 LOH ditempatkan di ESSCom yang turut dilengkapi dengan sistem persenjataan M134D Gatling Gun.

“Manakala enam buah helikopter tempur ringan MD530 yang kini dalam proses perolehan turut akan ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Lahad Datu.

“Tidak pernah dalam sejarah tentera udara di Malaysia ada helikopter ini yang dilengkapkan dengan senjata… tapi kali ini untuk Sabah kita buat,” katanya.

Mengenai perkembangan penubuhan 31 Briged Sempadan, Hishammuddin berkata dalam tempoh lapan bulan penubuhannya sejak awal Januari tahun ini, hampir 40 peratus anggota telah direkrut bagi melengkapkan lima batalion yang diperlukan.

“Proses peralihan aset dan logistik untuk briged ini turut berjalan lancar dan saya sendiri akan terus memantau bagi memastikan briged ini memperoleh status operasi oleh tentera darat pada penghujung 2017 dapat direalisasikan,” katanya.

Hishammuddin berkata antara perkara yang diberi keutamaan dalam penubuhan briged itu termasuk menambah bilangan anggota yang berasal dari Sabah dan Sarawak untuk mengisi baki kekosongan sebanyak 1,400 perjawatan briged berkenaan.

“Anggota dari Sabah dan Sarawak mempunyai pengetahuan setempat yang pastinya memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya.

31 Briged Sempadan ditubuhkan bagi mengimbangi bebanan tugas pasukan infantri sedia ada di Sabah dan Sarawak serta menambah keberkesanan pengawasan sempadan daratan sepanjang 2019.5 kilometer di antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan dengan cadangan penambahan sebanyak 18 buah pos di sempadan.

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditanya mengenai kes penculikan di perairan Pom Pom di Semporna malam tadi, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan menjalin kerjassama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara dalam menanganinya.

Komander ESSCom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid hari ini mengesahkan menerima laporan pada jam 1.59 pagi semalam berkaitan satu kes culik di perairan Pom Pom. — Bernama

Advertisement