Anda di sini

Ibu bapa perlu didedahkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak dengan betul

Advertisement

KOTA KINABALU: Ibu bapa perlu didedahkan dengan penggunaan kerusi kereta bagi bayi dan kanak-kanak dengan cara yang betul bagi mengurangkan kadar kematian di jalan raya.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS) Irene Ambrose berkata, ia berikutan banyak kejadian tidak diingini berlaku khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak disebabkan pengabaian penggunaan kerusi kereta yang betul.

“Masih ada ibu bapa tidak menyedari dan mengabaikan kepentingan penggunaan kerusi kereta yang betul khas untuk bayi mahupun kanak- kanak.

“Mengikut kajian, dengan cara penggunaan kerusi kereta yang betul dapat mengurangkan sebanyak 71 peratus kematian dalam kalangan bayi, manakala 54 peratus dalam kalangan kanak-kanak,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Taska 2016 peringkat negeri, di sini kelmarin.

Justeru, Irene berharap agar ceramah yang diadakan pada sambutan itu dapat memberi pengetahuan mengenai cara penggunaan kerusi kereta yang betul seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Mengenai sambutan Hari Taska yang menjadi program tahunan PPTS beliau berkata, tema yang digunakan sempena sambutan tahun ini iaitu ‘Keep Me Save’ adalah amat bertepatan.

Menurutnya, seramai 168 kanak-kanak dari 33 taska sekitar bandar raya ini menyertai pertandingan mewarna yang menjadi pengisian pada sambutan berkenaan.

“Pertandingan bertemakan Keep Me Save bukan sahaja dapat mencungkil bakat kanak-kanak tetapi mereka juga akan terdedah tentang pentingnya aspek keselamatan dalam kehidupan sama ada di rumah, taska dan tempat awam,” katanya.

Hadir sama ialah pengerusi sambutan Hari Taska 2016 peringkat negeri merangkap Naib Presiden PPTS Zubaidah Sidek.

Advertisement