Anda di sini

Empat lokasi diserbu dalam Ops PTI

Advertisement

KOTA KINABALU: Selepas lebih tujuh jam operasi, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap melibatkan empat lokasi penempatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, seramai 10 kanak-kanak berumur lingkungan 2 hingga 5 tahun antara yang ditahan.

“Selain itu kita turut menahan 16 individu berumur lingkungan 24 hingga 50 tahun termasuk seorang atas kesalahan dadah.

“Kesemua yang ditahan melibatkan 18 warga Filipina, tujuh warga Indonesia manakala seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 12 (2) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat lepas.

Menurutnya, lokasi operasi adalah rumah sewa di atas kedai kawasan Kolombong, rumah sewa di Inanam Capital, rumah setinggan Taman Mahkota Luyang, serta rumah setinggan Kampung Melayu Bumiputera Brunei.

Dalam pada itu jelasnya seramai 60 individu menjalani pemeriksaan sepanjang Ops PTI Bersepadu dijalankan termasuklah 48 warga Filipina dan 12 rakyat Indonesia.

Beliau berkata, operasi perobohan rumah akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam tempoh terdekat.

“Sebanyak 12 buah rumah setinggan di Taman Mahkota Luyang dan 15 buah rumah di Kampung Melayu Bumiputera Brunei akan dirobohkan.

“Punca bekalan elektrik juga akan diputuskan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di kawasan berkenaan,” katanya.

Selain polis, turut terlibat dalam operasi itu beberapa pegawai dari Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM), Jabatan Pendafaran Negara (JPN), DBKK, SESB, Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Jabatan Imigresen.

Advertisement