Anda di sini

Rakyat perlu didedah fakta sejarah sebenar

Advertisement
 Tawfiq menyanyikan lagu Negaraku bersama masyarakat pada majlis sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat Zon Ranggu di Balai Raya Kampung Ranggu semalam. — Gambar Bernama

BERSEMANGAT: Tawfiq menyanyikan lagu Negaraku bersama masyarakat pada majlis sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat Zon Ranggu di Balai Raya Kampung Ranggu semalam. — Gambar Bernama

TAWAU: Rakyat di negara ini perlu mengetahui fakta sejarah sebenar mengenai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia supaya tidak timbul isu yang boleh mencetuskan sentimen perkauman serta kenegerian.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata rakyat perlu lebih banyak didedahkan dengan fakta sejarah sebenar ekoran terdapat segelintir pihak yang sengaja mereka fakta tidak betul.

“Ketika ini, ada sahaja pihak yang sengaja mencucuk pemikiran rakyat dengan mereka-reka pelbagai bentuk fakta sejarah yang boleh disalah anggap sehingga mencetuskan perasaan tidak senang antara rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Zon Ranggu di Balai Raya Kampung Ranggu dekat sini, semalam.

Mengenai Sabah dan Malaysia, katanya negeri itu tidak pernah memasuki Malaysia sebaliknya Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Malaya telah membentuk Malaysia.

Tawfiq yang juga Ketua UMNO Tawau berkata berdasarkan fakta sejarah, Sabah sebelum pembentukan Malaysia dikenali sebagai Borneo Utara dan ketika itu Sabah tidak berupaya untuk merdeka secara bersendirian dan sentiasa diperhatikan oleh dua negara jiran kini.

“Suruhanjaya Cobbold telah melakukan pungutan suara dalam kalangan rakyat di negeri ini… hasilnya mereka memilih bersama Sarawak, Singapura dan Malaya untuk membentuk Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan atau premis masing-masing merupakan tanda tanggungjawab rakyat ke arah menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Rakyat sepatutnya tidak sambil lewa dan tidak menganggap perbuatan mengibar Jalur Gemilang sebagai sia-sia dan membuang masa.

“Rakyat yang menghargai kemerdekaan dan kedaulatan negara wajar mengibar Jalur Gemilang tanpa perlu disuruh kerana kesedaran itu seharusnya bermula dari diri masing-masing,” katanya. — Bernama

Advertisement