Anda di sini

Hospital Kapit perlu pengimbas CT

Advertisement

Pesakit tidak perlu dihantar ke Sibu sekali gus menjimat kos perjalanan

// Oleh Florence Nervyn //

 Jamit (tengah) mendengar taklimat daripada Gerald (dua kanan) mengenai projek pembinaan jalan di Hospital Kapit.

TURUN PADANG: Jamit (tengah) mendengar taklimat daripada Gerald (dua kanan) mengenai projek pembinaan jalan di Hospital Kapit.

KAPIT: Hospital Kapit amat memerlukan mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) untuk memenuhi keperluan klinikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat menggesa Kementerian Kesihatan menyediakan hospital dengan keperluan mesin pengimbas.

“Mesin pengimbas satu keperluan kerana dengan mesin, pesakit tidak perlu dihantar ke Sibu melakukan imbasan memerlukan perjalanan tiga jam menggunakan bot ekspres ke Sibu.  “Ia dapat  menjimatkan masa dan mengurangkan bebanan pesakit. Di Hospital Kapit, kita memerlukan pakar bedah dan perkhidmatan pakar tulang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan bagi pembinaan jalan keluar dari Hospital Kapit menuju ke jalan utama iaitu Jalan Memora, baru-baru ini.

Difahamkan Hospital Kapit telah dibina pada tahun 1958 oleh American Missionary sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 197

Jamit berkata, projek pembinaan jalan keluar dari Hospital Kapit menuju ke jalan utama, Jalan Memora dilihat sebagai keperluan mendesak dan perlu dijalankan secepat mungkin.

“Sebagai wakil rakyat, ia adalah tanggungjawab saya untuk mengambil tindakan susulan projek tersebut demi untuk menfaat rakyat di bahagian ini.

“Saya akan bekerjasama dengan Timbalan Ketua Menteri juga Menteri Pembangunan Infastuktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing serta agensi-agensi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat di Kapit,” katanya.

Sejak dibina, Hospital Kapit tidak banyak mengalami perubahan termasuk penambahbaikan aliran trafik dan ia menyebabkan keadaan jalan yang sangat sempit.

Lebih teruk jalan masuk ke hospital tersebut adalah sangat sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan sahaja.

Tiga tahun lepas iaitu pada tahun 2013, pihak Hospital Kapit telah menganggarkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi pembinaan jalan keluar tersebut, bagaimanapun, kos tersebut kini telah meningkat kepada RM1.5 juta disebabkan kenaikan harga bahan binaan.

Terdahulu, Jamit bersama rombongannya telah mengadakan tinjauan ke projek menaik taraf Terminal Penumpang Kapit kini sedang dalam pembinaan.

Terminal penumpang telah mula ditutup kepada orang ramai sejak 25 Ogos lepas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf dijalankan. Kerja-kerja menaik taraf tersebut dijangka siap menjelang bulan November tahun ini.

Selain itu, Jamit turut dibawa melihat sendiri keadaan sesak di terminal penumpang sementara, Jeti Baleh/Belaga dan lawatan ke Dermaga Kapit di Bazaar Baharu.

Turut mengiringinya ialah Pemangku Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Kapit Gerald George, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kapit Keron Mapus mewakili Pegawai Daerah Kapit, Ahli Majlis Daerah Kapit Kaunselor Liew Hui Hua, Kaunselor George Tang, Pemanca Yong Thu Fook, Penghulu Sia Shui Poh dan Penghulu Pasang Tuba.

Advertisement