Anda di sini

Rakyat perlu miliki nilai patriotisme: Fadzlee

Advertisement
 Fadzlee menerima Jalur Gemilang daripada ketua konvoi sebaik rombongan tiba di lokasi terakhir di Kampung Kerukan.

PATRIOTIK: Fadzlee menerima Jalur Gemilang daripada ketua konvoi sebaik rombongan tiba di lokasi terakhir di Kampung Kerukan.

KUALA PENYU: Rakyat perlu memiliki nilai patriotisme terhadap negara agar nikmat kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi ketika ini kekal untuk selamanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Mohd Fadzlee Abdullah berkata patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapaisan masyarakat khususnya genersi muda.

“Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia,” katanya selepas ketika menutup Konvoi Merdeka Perpaduan di dewan Kampung Kerukan, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata nilai patriotisme telah memainkan peranan yang sangat penting dalam diri rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai selama ini.

Katanya, signifikasi patriotisme dapat membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum yang menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara.

“Bagi mencapai persefahaman antara kaum, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan melalui pengwujudan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi menjalankan gerak kerja ke arah penyatuan kaun di negara ini, khususnya negeri ini.

“Penubuhan ini sangat wajar bagi mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini dan melalui perpaduan juga menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat,” katanya.

Fadzlee berkata usaha yang dilakukan oleh JPNIN dengan dukungan beberapa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini yang menganjurkan program berkenaan harus dilihat sebagai satu pendekatan positif ke arah mewujudkan masyarakat yang penyayang dan bersatu padu.

“Usaha seperti ini perlu diteruskan bagi membentuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang seharusnya tidaklah semata-mata menjadi tanggungjawab kerajaan, namun semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan obligasi dengan mengajar anak-anak menghargai keamanan negara dan bersikap cintakan negara,” katanya.

Sebanyak 18 KRT di daerah ini terlibat dalam konvoi itu di mana majlis pelepasannya telah disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih di Kampung Kitang, di sini.

Advertisement