Anda di sini

Kelembapan ekonomi asing jejas dagangan Malaysia pada Julai

KUALA LUMPUR: Import barangan besar beserta kelembapan ekonomi beberapa negara asing adalah antara penyebab penyusutan lebihan dagangan Malaysia pada Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud berkata biarpun jarang, import barangan besar seperti pesawat dan kapal merupakan pelaburan yang baik bagi jangka panjang.

Menurutnya, kelembapan ekonomi di beberapa negara turut menjejaskan prestasi perdagangan pada Julai.

“Eksport ke China yang juga rakan dagang terbesar kita, adalah lebih perlahan yang menyaksikan kerajaan negara itu bertindak menyusun semula ekonomi serta mempertingkat penggunaan domestik.

“Kita berharap akan ada tanda-tanda pemulihan (eksport) dalam masa lima bulan ini, bukan sahaja je China tetapi juga negara-negara lain,” katanya kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Pemacu e-Dagang 2016: eTrade Rentas Sempadan di sini, semalam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam maklumat statistik yang diumumkan semalam berkata Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM1.91 bilion pada Julai 2016 berbanding RM5.52 bilion pada bulan sebelumnya.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, eksport Julai merosot sebanyak 5.3 peratus kepada RM59.85 bilion manakala import berkurangan sebanyak 4.8 peratus kepada RM57.94 bilion.

Eksport ke China mencatat kemerosotan terbesar iaitu 22.3 peratus berbanding setahun lepas berikutan penurunan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum dan getah asli.

Bagaimanapun, pada bulan sama, eksport ke Amerika Syarikat meningkat sebanyak 4.1 peratus, sebahagian besarnya dipacu oleh peralatan optik dan saintifik, minyak sawit serta produk berasaskannya.

“Ekonomi Amerika Syarikat mencatat perkembangan baik. Kita menjangkakan negara itu akan mengambil lebih banyak produk dari Malaysia, khususnya segmen E&E yang juga antara komponen penting dalam eksport kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Oktober depan, Dzulkifli yakin ia akan membabitkan lebih banyak pendekatan bagi membantu peusahaan kecil dan sederhana selain merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia. — Bernama

Advertisement