Anda di sini

Ankeyunda, peluang Sarawak perluas potensi pelancongan

Advertisement

Pengendali penerbangan cater mencari tarikan pelancongan

// Oleh Agnes Tugong //

 Lee (tiga kiri) menyerahkan buku mengenai Sarawak kepada Han (tengah) dan Li (dua kanan) di pejabatnya disaksikan Benedict (kanan) dan tetamu lain.

POTENSI PELANCONGAN: Lee (tiga kiri) menyerahkan buku mengenai Sarawak kepada Han (tengah) dan Li (dua kanan) di pejabatnya disaksikan Benedict (kanan) dan tetamu lain.

KUCHING: Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin semalam menerima kunjungan hormat daripada pengendali pelancongan, Ankeyunda Air Travel Services Co Ltd dari Beijing, China di pejabatnya di Bangunan Masja di sini.

Ankeyunda Air Travel Services merupakan pengendali penerbangan cater terbesar dan merupakan syarikat tersenarai bursa di China.

“Kedatangan Ankeyunda ke Kuching adalah untuk  mencari tarikan pelancongan di sekitar bandar ini.

“Hasil kunjungan ke bandar raya ini, mereka telah mempertimbangkan untuk mencater penerbangan dari beberapa bandar dari China ke Kuching dan seterusnya ke bahagian-bahagian lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat hampir satu jam bersama delegasi Ankeyunda semalam.

Penerbangan cater terakhir oleh Ankeyunda dari Beijing ke Sarawak adalah pada 2007 dan kehadiran mereka pada ketika itu adalah untuk melihat perkara-perkara baharu yang boleh dilakukan bagi menarik pelanggan ke Sarawak.

“Ramai penduduk di China tidak tahu di mana Sarawak tidak seperti Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“Ini adalah peluang kita untuk membawa lebih ramai pelancong dan pengendali pelancongan ke negeri kita,” tambahnya.

Difahamkan bahawa, agensi pelancongan ini telah membawa tujuh juta pelancong dari China ke Thailand tahun ini dan Sarawak berkelebihan kerana fasiliti di sini berpatutan dan munasabah.

Dalam pada itu, sepanjang kunjungan ke bandar ini, delegasi Ankeyunda telah melawat premis-premis menjual makanan seperti restoran dan bar, lokasi menikmati makanan laut termasuk hotel yang mana didapati amat berpatutan bagi mereka.

Delegasi dari Ankeyunda ini turut berpeluang menikmati pelbagai tarikan di bandar ini seperti Sarawak River Cruise, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Orang Utan Semenggoh selain aktiviti berkayak di sepanjang Sungai Semadang di Padawan.

Kerajaan negeri dalam pada itu akan memberikan sokongan kepada pengendali pelancongan ini dalam bentuk seperti hak pendaratan untuk penerbangan yang membawa penumpang.

Ankeyunda menggunakan khidmat rakan gabungan mereka, China Eastern Airlines untuk membawa pelancong dari China.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu semalam ialah Pengarah Pemasaran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Benedict Jimbau, Pengerusi Lembaga Ankeyunda Han Weihua dan Pengarah Operasi Naning Merchant International Travel Agency Cl Ltd, Li Jun.

Advertisement