Anda di sini

Pecah amanah hampir RM15 juta

Advertisement

Pengarah Urusan dan Pengerusi Bank Rakyat mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak dan pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 juta, Mac lepas.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Mustafha, 48, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 yang diamanahkan terhadapnya di Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33 Jalan Travers di sini pada 11 Mac lepas.

Abdul Aziz, 65, pula didakwa bersubahat dengan Mustafha melakukan kesalahan yang sama pada tempat dan tarikh yang sama.

Mustafha didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Abdul Aziz didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Abdul Aziz diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Mustafha diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Masri Mohd Daud.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 Okt depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dibicarakan secara bersama kerana ia membabitkan jumlah transaksi yang sama.

Terdahulu, Masri mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM2 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius iaitu melibatkan institusi kewangan.

Muhammad Shafee dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana ia tidak relevan dengan kesalahan pecah amanah yang dilakukan oleh anak guamnya.

Beliau berkata, Abdul Aziz yang mempunyai empat orang anak pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan dan memegang jawatan tertinggi serta pernah mendapat pelbagai anugerah ketika dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Kamarul Hisham dalam rayuan juga memohon jumlah jaminan yang rendah kerana anak guamnya telah lama berkhidmat dengan Bank Rakyat, telah berkeluarga, mempunyai empat orang anak berusia antara 23 tahun hingga 7 tahun serta warga negara Malaysia dan mustahil untuknya melarikan diri.

Bagaimanapun, Masri berhujah bahawa tidak semestinya orang yang mempunyai latar belakang baik serta memperolehi pelbagai anugerah tidak akan melarikan diri dan kesalahan yang dilakukan membabitkan orang nombor satu dan dua dalam Bank Rakyat.

Hakim juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan bayaran jaminan anak guamnya sehingga jam 3 petang hari ini kerana jumlah wang jaminan yang disediakan belum mencukupi. — Bernama

Advertisement