Anda di sini

Malaysia catat lebihan dagangan RM1.91 bilion pada Julai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor eksport Malaysia terus mencatatkan trend positif dengan bulan Julai mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM1.91 bilion.

Ini menjadikannya bulan ke-225 lebihan dagangan dicatatkan sejak November 1997, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan semalam.

Katanya eksport pada bulan tersebut merosot sebanyak 5.3 peratus atau RM3.37 bilion kepada RM59.85 bilion dari segi tahun ke tahun, manakala import susut sebanyak 4.8 peratus atau RM2.91 bilion kepada RM57.94 bilion.

“Secara keseluruhannya, perdagangan turun sebanyak 5.1 peratus kepada RM117.79 bilion,” katanya.

Pada Julai, eksport barangan perkilangan merosot sebanyak 3.9 peratus atau RM1.96 bilion kepada RM48.75 bilion dengan penurunan eksport produk elektrik dan elektronik, susut sebanyak RM1.39 bilion.

Peningkatan eksport, bagaimanapun, dicatatkan bagi barangan optik dan saintifik, produk getah, peralatan pengangkutan, makanan yang diproses, produk besi dan keluli serta produk kimia dan bahan kimia.

Eksport barangan pertanian mencatat nilai sebanyak RM5.59 bilion, merosot sebanyak 10 peratus, disebabkan eksport minyak sawit dan getah asli yang rendah, masing-masing pada 9.6 peratus dan 43.9 peratus.

“Eksport minyak sawit turun disebabkan jumlah dagangan yang rendah, manakala getah asli disebabkan nilai unit purata (AUV) dan jumlah dagangan yang rendah,” katanya.

Bagaimanapun, eksport minyak sawit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus pada Julai berbanding Jun 2016, disumbangkan oleh jumlah eksport minyak sawit yang lebih tinggi.

Eksport barangan perlombongan merosot sebanyak 14 peratus kepada RM5.07 bilion dengan eksport gas asli cecair (LNG) yang rendah, disebabkan AUV rendah.

Pada Julai, eksport ke ASEAN meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM18.15 bilion, didorong oleh peningkatan eksport petroleum mentah, produk elektrik dan elektronik, produk petroleum dan pembuatan logam.

Import dari ASEAN susut 16.7 peratus kepada RM12.92 bilion dan perdagangan dengan ASEAN merosot sebanyak 5.4 peratus kepada RM31.08 bilion.

Sementara itu, dari Januari hingga Julai, lebihan dagangan sebanyak RM43.7 bilion dicatatkan, berbanding RM44.06 bilion dicatatkan pada tempoh sama pada  2015.

Perdagangan Malaysia dari Januari hingga Julai meningkat 0.3 peratus dengan nilai sebanyak RM821.8 bilion, berbanding RM819.04 bilion pada tempoh sama pada 2015.

Peningkatan perdagangan dilihat dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan, ASEAN, Turki, Nigeria, Mexico dan Bangladesh.

“Sejajar dengan permintaan luaran yang lembap, eksport meningkat sebanyak 0.3 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM432.75 bilion, manakala import naik sebanyak 0.4 peratus atau RM1.55 bilion kepada RM389.05 bilion,” katanya. — Bernama

Advertisement