Anda di sini

Warga KDN wajib jalani ujian psikologi

Advertisement
 Nur Jazlan menunjukkan Manual SPiK selepas merasmikan Seminar Psikologi Keselamatan di Perbadanan Putrajaya di Putrajaya, semalam. Turut hadir ialah (dari kiri) Timbalan Setiausaha Bahagian (Psikologi) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Badruddin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KDN Hashimah Nik Jaafar. — Gambar Bernama

WAJIB MENJALANI UJIAN: Nur Jazlan menunjukkan Manual SPiK selepas merasmikan Seminar Psikologi Keselamatan di Perbadanan Putrajaya di Putrajaya, semalam. Turut hadir ialah (dari kiri) Timbalan Setiausaha Bahagian (Psikologi) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Badruddin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KDN Hashimah Nik Jaafar. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Semua warga kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi di bawahnya diwajibkan menjalani ujian psikologi di bawah Sistem Pemprofilan Keselamatan (SPiK) bagi mengukur tahap kesejahteraan individu, kata Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata sistem dalam talian itu yang mula dilaksanakan di Jabatan Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Agensi Kawalan Sempadan sejak Jun lepas, merangkumi lima dimensi utama iaitu personaliti, kesihatan mental, integriti, kompetensi dan patriotisme.

Beliau berkata SPiK itu secara tidak langsung membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam urusan pengambilan, penempatan, prestasi dan pembangunan kompetensi kakitangan.

“Sistem ini merupakan satu ujian saintifik. Ia akan digunakan sebagai penilaian kerja setiap pegawai KDN.

“Profil mereka akan direkod dan dinilai dari semasa ke semasa, khususnya mereka yang ditempatkan di tempat berisiko tinggi seperti pintu masuk negara dan sempadan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Psikologi Keselamatan KDN, di sini semalam.

Nur Jazlan berkata sistem terebut akan diguna pakai semua pengurus Sumber Manusia KDN dan agensi di bawahnya secara berperingkat.

“Bagi mereka yang gagal mana-mana ujian dimensi, mereka akan ditempatkan di bahagian yang kurang sensitif di bawah KDN manakala mereka yang didapati tidak sesuai akan ditukarkan dari KDN,” katanya.

Pada majlis itu, Nur Jazlan turut menyampaikan Anugerah Bitara Psikologi kepada pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Geshina Ayu Mat Saat dan ACP Ong Chin Lan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak menyumbang dalam memartabatkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling dalam bidang keselamatan negara. — Bernama

Advertisement