Anda di sini

Syarikat Malaysia digesa tingkat kerjasama dengan Laos

Advertisement

 Najib hadir pada Mesyuarat Bersama Syarikat Perniagaan Malaysia di Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane semalam. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kanan). — Gambar Bernama

TINGKAT KERJASAMA: Najib hadir pada Mesyuarat Bersama Syarikat Perniagaan Malaysia di Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane semalam. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kanan). — Gambar Bernama

VIENTIANE: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa syarikat Malaysia agar terus meningkatkan kerjasama dengan Laos untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Najib berkata setakat ini, pelaburan Malaysia di Laos berjumlah AS$569.6 juta menjadikan Malaysia pelabur keenam terbesar di negara tersebut.

“Bagi perdagangan, bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kedua-dua negara,” katanya semasa bertemu dengan syarikat dan wakil perniagaan Malaysia di Laos, di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan Laos juga mengambil usaha untuk menjadikan persekitaran perniagaan lebih kondusif dan ini harus menjadi sebagai ‘faktor tarikan’ bagi lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur di negara tersebut.

“Penubuhan Dewan Perniagaan Malaysia di Laos adalah satu lagi langkah positif ke arah mengukuhkan hubungan ekonomi. Saya yakin syarikat Malaysia akan terus bekerjasama malahan lebih rapat lagi dengan syarikat di Laos untuk menjalin perkongsian strategik,” katanya.

Najib berkata pelaburan oleh syarikat Malaysia pada masa ini merangkumi dalam sektor perbankan dan kewangan, insurans, pelancongan, pendidikan, pembinaan dan pertanian.

Ia juga merangkumi dua zon perdagangan bebas iaitu Zon Ekonomi Khas (SEZ) Nelamit/Dongphosy (SEZ) di Vientiane dan SEZ Savan-Seno di Savannakhet di selatan Laos.

“Satu daripadanya adalah kontrak untuk membina landasan kereta api sejauh 220 kilometer menghubungkan negara itu di bahagian timur di Savannakhet di sempadan Thailand, ke Lao Bao di bahagian barat di sempadan dengan Vietnam.

“Ini merupakan projek bernilai berbilion dolar dan juga hakikatnya bahawa syarikat Malaysia juga sedang membangunkan SEZ di Laos,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara berkongsi agenda meliberalisasikan ekonomi.

“Kami akan membantu anda. Kita memiliki nama yang baik dan produk yang baik. Jadi teruskan ia, dan saya berharap anda tidak akan menjejaskannya. Jika anda mengecewakan syarikat tempatan di sini, ia akan menjejaskan syarikat Malaysia lain dari segi nama baik dan kepercayaan yang telah diraih,” katanya kepada para hadirin.

Pada 2015, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos bernilai RM106 juta.

Eksport Malaysia ke Laos bernilai RM100 juta merangkumi pakaian, tekstil, alat-alat ganti kenderaan, bahan perlombongan, barangan elektrik dan elektronik, produk kimia, getah asli, minyak sawit dan barangan perkilangan.

Sebahagian besar import terdiri daripada peralatan komunikasi dan komponen elektrik. — Bernama

 

Advertisement