Anda di sini

Kerana tidak mampu, kereta mewah ‘dihilangkan’ di Thailand

Advertisement
 Antara 20 kereta mewah anggaran bernilai RM2.2 juta yang akan dihantar pulang ke Malaysia selepas majlis penyerahan kereta Malaysia curi yang ditemukan di Thailand kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh oleh Polis Diraja Thailand diketuai Timbalan Ketua Polis Jen Wuthi Liptapallop di Bangkok, semalam. — Gambar Bernama

DITEMUI SEMULA: Antara 20 kereta mewah anggaran bernilai RM2.2 juta yang akan dihantar pulang ke Malaysia selepas majlis penyerahan kereta Malaysia curi yang ditemukan di Thailand kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh oleh Polis Diraja Thailand diketuai Timbalan Ketua Polis Jen Wuthi Liptapallop di Bangkok, semalam. — Gambar Bernama

BANGKOK: Disebabkan tidak mampu menjelaskan bayaran pinjaman bulanan atau insurans kereta mewah mereka, ada di kalangan pemilik kenderaan terbabit membawanya masuk ke Thailand dan menjualnya kepada pihak-pihak tertentu di negara jiran itu.

Tindakan pemilik kereta mewah itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyerahan 20 kereta mewah negara yang ditemui Polis Thailand untuk dihantar kembali ke Malaysia di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Wuthi Liptapallop menyerahkan kenderaan terbabit dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Mohmad berkata polis sedang menyiasat ‘fenomena baharu’ jenayah berkaitan kenderaan itu.

“Kerana tidak mampu membayar pinjaman bulanan atau insurans kereta mewah mereka, pemilik menyeludupnya ke Thailand dan menjualnya kepada pihak tertentu (di Thailand) untuk memperoleh wang.

“Apabila pihak bank atau insurans mahu merampas kereta mewah itu, mereka bukan sahaja gagal menemui kenderaan itu kembali manakala pemiliknya pula telah menghilangkan diri,” katanya.

Menurut Mohmad, pemilik kereta mewah terbabit juga tidak membuat sebarang laporan mengatakan kenderaan mereka telah dicuri, seolah-olah ia ‘hilang’ begitu sahaja.

Pihak polis, katanya, akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank serta Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bagi menangani fenomena baharu tentang ‘kehilangan’ kereta-kereta mewah itu.

“Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk menyiasat dan melakukan kajian tentang kes-kes ini kerana modus operandinya adalah sesuatu yang baharu,” katanya dan menambah, jenayah itu menyebabkan kerugian kepada negara.

Mengenai majlis semalam, beliau berkata, penyerahan semula kereta-kereta itu menunjukkan kerjasama dan hubungan yang erat antara Polis Thailand dan Bukit Aman.

Beliau menjangkakan lebih banyak kejayaan bakal dikecapi pasukan polis kedua-dua negara dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan.

Mohmad juga berkata, pegawai kanan polis kedua-dua negara akan bertemu di Kuala Lumpur pada November ini dalam satu mesyuarat bersama untuk menangani isu-isu berkenaan jenayah rentas sempadan.

Katanya, isu tentang jenayah rentas sempadan kini amat luas dan tidak hanya meliputi penyeludupan dadah, senjata dan manusia tetapi juga berkenaan penyeludupan bahan toksik dan ubatan palsu. — Bernama

 

Advertisement