Anda di sini

Pasaran ASEAN besar dan pelbagai

Advertisement

Syarikat digesa tukar model perniagaan sesuai dengan kepelbagaiannya

KUALA LUMPUR: Syarikat yang ingin memanfaatkan pasaran besar ASEAN perlu mempertimbangkan untuk menyesuaikan model perniagaan mereka bagi memenuhi kepelbagaian rantau ini, menurut HSBC Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Mukhtar Hussain berkata ASEAN bukan pasaran yang mudah untuk diteroka disebabkan terdapat pelbagai agama, budaya dan bahasa, sistem politik dan pembangunan ekonomi.

“Pendekatan satu saiz sesuai untuk semua perniagaan bukan resepi untuk kejayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mukhtar berkata sebarang perubahan yang dibuat oleh syarikat akan memberi manfaat berikutan jumlah penduduk di rantau ini yang sebanyak 620 juta orang menjadi sumber permintaan global yang semakin kuat.

“Rantau ini telah beralih daripada menjadi hab untuk pembuatan kereta, elektronik dan barangan lain kepada pasaran untuk barangan tersebut, seperti ‘Buatan ASEAN’ menjadi ‘Dijual di ASEAN’ dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata ekonomi rantau ini, berjumlah AS$2.6 trilion pada masa ini, merupakan yang ketujuh terbesar di dunia dan dijangka menjadi keempat terbesar menjelang 2050.

Infrastruktur yang bertambah baik dan peningkatan kesalinghubungan termasuk akses Internet dan teknologi perbankan digital akan membolehkan berpuluh juta mengakses perkhidmatan kewangan buat kali pertama, seterusnya membolehkan penggunaan dan meletakkan asas pelanggan yang luas dalam capaian e-dagang syarikat di seluruh dunia, kata Mukhtar.

Malaysia, katanya, mempunyai peranan penting dalam pembinaan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 berdasarkan lokasi strategiknya di tengah-tengah Asia Tenggara dan Selat Melaka.

“Seperti kebanyakan ekonomi di dunia pada masa ini, prospek ekonomi ASEAN dicabar oleh pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, Brexit dan ketidaktentuan di Eropah serta turun naik pasaran komoditi.

Bagaimanapun, Mukhtar berkata ASEAN mempunyai prospek cerah dalam ekonomi global. — Bernama

Advertisement