Anda di sini

MPOB kongsi kehebatan minyak sawit merah

Advertisement

Penggunaan minyak sawit di China iaitu pengguna kedua terbesar komoditi itu, diyakini terus meningkat

KUALA LUMPUR: Minyak sawit merah terbukti menjadi minyak sayuran serba hebat berikutan kelebihan dan pelbagai manfaat kesihatannya bagi menangani masalah kekurangan vitamin, membantu jantung menangani stres biarpun terus menjadi sasaran serangan kumpulan di Eropah yang bimbang kehilangan bahagian pasaran kepada hasil komoditi itu.

Minyak sawit itu berwarna merah kerana kandungan beta karotenanya yang tinggi dikekalkan dalam usaha pemprosesannya.

Hasil kajian saintifik membuktikan minyak sawit merah ini padat dengan tokotrienol – satu bentuk vitamin E dan A, kaya antioksidan serta fitonutrien lain yang membantu masalah kekurangan vitamin serta menyokong jantung menangani stres.

Ia juga mampu mengawal tahap kolesterol, pengaliran darah serta mengurangkan tekanan darah.

Namun, kumpulan antiminyak sawit merangkumi kalangan pembuat dasar serta kumpulan pengguna Perancis, Belgium serta Switzerland terus melemparkan tuduhan tidak berasas bahawa minyak sawit merah itu penyebab barah dan masalah jantung biarpun bukti kukuh menunjukkan sebaliknya.

Malah, minyak sawit itu bebas lemak trans dan mengandungi asid lemak tepu dan tak tepu yang seimbang dan penggunaannya juga tidak dikaitkan dengan apa-apa bentuk barah.

Tuduhan kumpul ankumpulan antiminyak sawit ini hanya menidakkan realiti bahawa masalah utama kesihatan lebih sinonim dengan amalan gaya hidup termasuk pengambilan arak serta merokok yang membahayakan kesihatan.

Ternyata, alasan sebenar mereka memburuk-burukkan minyak sawit merah adalah disebabkan kedudukannya sebagai saingan utama kepada minyak soya dan minyak biji sesawi serta peningkatan permintaan minyak sawit yang menjejaskan bahagian pasaran minyak makan lain.

Kelebihan minyak sawit merah itu juga berasaskan bukti saintifik kajian di India pada pertengahan 1930-an yang mana khasiatnya sebagai sumber karotena bagi mengelak masalah kekurangan vitamin A.

Kehebatan minyak sawit itu diperkukuhkan lagi menerusi hasil kajian terbaharu Program Minyak Sawit Merah oleh PORTSIM iaitu Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Gansu, China.

Apa yang menarik, program bertujuan meningkatkan pengambilan vitamin A dalam kalangan pelajar sekolah itu adalah menerusi pengagihan biskut diperbuat daripada lelemak minyak sawit.

Seramai 2,000 pelajar sekolah terbabit dalam usaha menangani masalah kekurangan vitamin A yang boleh menjejaskan penglihatan, tulang yang lemah, daya tahan atau imuniti badan lemah serta merencatkan keupayaan pembelajaran serta fungsi mental.

Hasilnya, seperti dikongsi Ketua Pengarah MPOB, Dr A Kushairi Din kepada Bernama baru-baru ini, pengambilan biskut itu menurunkan masalah kekurangan vitamin A itu daripada 21.6 peratus kepada 6.0 peratus serta memulihkan penglihatan.

Minyak sawit merah itu turut dikaji sebagai makanan tambahan serta bagi melengkapi usaha meningkatkan paras vitamin A di kawasan pedalaman China.

Ia ternyata berkesan bagi melengkapi bekalan makanan di negara-negara berdepan masalah kekurangan vitamin A secara ketara, khususnya seperti China yang mana masih ramai rakyatnya tidak mengetahui manfaat minyak sawit.

Jika diamati, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia bagi mengangkat hasil komoditi Malaysia itu kekal produk utama dalam industri minyak makan China termasuk menerusi peranan PORTSIM.

Malah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong yang berada di China bersempena Pameran Dagang Minyak Sawit, Seminar Nutrisi Dan Kesihatan Berasaskan Minyak Sawit, baru-baru ini, turut melawat PORTSIM di Shanghai.

Kunjungan Mah yang mengetuai delegasi rasmi Malaysia ke China itu adalah bukti jelas kepentingan pasaran negara itu bagi industri minyak sawit Malaysia.

Ketika mengulas hasil Program Minyak Sawit Merah itu, Mah berkata dapatan itu adalah bukti jelas kelebihan minyak sawit dalam pasaran minyak serta lelemak China.

Bersandarkan latar belakang sedemikian, Mah yakin penggunaan minyak sawit di negara pengguna kedua terbesar komoditi itu, akan terus meningkat.

Tambahan pula ia membabitkan masalah kekurangan vitamin A yang juga antara isu penting kesihatan umum di negara membangun dan jelas terus berleluasa dalam kalangan pelajar prasekolah di pedalaman China sehingga menjadi punca utama buta.

Menyedari prospek biskut berasaskan minyak sawit merah itu, Mah turut mencadangkan supaya makanan itu diedarkan ke sekolah China, khususnya di pedalaman yang masih berdepan masalah kekurangan vitamin.

Mengulas lanjut, Kushairi berkata susulan selesainya fasa pertama Program Minyak Sawit Merah, adalah diharapkan kajian fasa kedua dapat dilengkapkan menjelang akhir tahun ini.

“Jika semua berjalan lancar di China, kami berhasrat untuk memperluaskan promosi biskut minyak sawit merah ini ke Bangladesh, India dan negara-negara Afrika yang terjejas akibat masalah kekurangan vitamin A, tidak lama lagi,” katanya.

Program Minyak Sawit Merah itu adalah antara inisiatif PORTSIM bagi meningkatkan imej serta memberi gambaran tepat mengenai minyak sawit di China.

Setakat Jun 2016, PORTSIM sudah menyelesaikan 31 projek dan mengkomersialkan 21 projek produk makanan.

Sejumlah 16 projek sedang diusahakan ketika ini.

Menerus i penubuhan PORTSIM, MPOB juga merancang mendidik pengguna pasaran China mengenai manfaat pelbagai produk minyak sawit.

Pada akhirnya, Malaysia berharap minyak sawit tidak sekadar bertapak kukuh di pasaran global, tetapi menjadi antara nutrien utama bagi membantu mengatasi masalah kekurangan vitamin dalam kalangan pelajar di pedalaman serta menjadi sebahagian penyumbang bagi amalan penjagaan kesihatan baik di serata dunia.  — Bernama

Advertisement