Anda di sini

Maybank IB unjur FBM KLCI cecah paras 1,710 akhir 2016

Advertisement

Berikutan senario pasaran tempatan kurang rangsangan

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan Bursa Malaysia tidak mencatat perubahan ketara tahun ini dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur mencecah paras 1,710 pada akhir 2016.

Ketua Peruncitan Ekuitinya, CK Lim berkata ini berikutan senario pasaran tempatan semasa yang kekurangan rangsangan dan haluan FBM KLCI bagi penggal terdekat lebih didorong oleh perkembangan luaran.

“Antara perkembangan luaran yang dipantau oleh pelabur adalah ketidaktentuan jangka masa kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta keputusan Pilihan Raya Presiden negara itu pada 8 November depan,” katanya kepada pemberita di luar program Unjuran Pasaran Bagi Separuh Kedua 2016 anjuran Maybank IB, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan Maybank Kim Eng Research Pte Ltd, Ong Seng Yeow pula menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan melaksanakan satu lagi langkah pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun depan.

Jelasnya, antara peristiwa penting menjadi tumpuan adalah keputusan Pilihan Raya Presiden AS yang bakal mempengaruhi persekitaran dagangan global serta pasaran serantau.

Beliau menyifatkan kerajaan juga berjaya melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kestabilan ekonomi tempatan biarpun berdepan persekitaran luaran yang tidak menentu.

Bagaimanapun, tegasnya, seandainya pemilihan Presiden AS menghasilkan keputusan yang kurang menarik, ia berkemungkinan besar disusuli dengan langkah pengurangan OPR.

Terdahulu ketika membuat pembentangannya, Ong berkata Maybank Kim Eng lebih cenderung kepada sektor seperti Unit Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) berikutan kelemahan sentimen pengguna yang kian reda dan disusuli dengan pemulihan perbelanjaan serta bidang pembinaan.

“Kami kekal positif mengenai (prospek) sektor pembinaan kerana menjangkakan peningkatan perolehan tawaran kerja dalam bidang infrastruktur serta yang berkaitan pembangunan utama, akan diteruskan.

“Bagi separuh pertama tahun ini misalnya, perolehan kerja itu adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding apa yang kami pantau pada separuh pertama 2015,” katanya.

Antara saham utama pilihan Maybank IB adalah KLCC Property Holdings Bhd, Gamuda Bhd, Sunway Construction Group Bhd, Gadang Holdings Bhd serta Econpile Holdings Bhd. — Bernama

Advertisement