Anda di sini

Masalah rakyat diberi perhatian sewajarnya: Pairin

Advertisement
 Pairin (kiri) sedang meneliti salah satu peralatan tradisional yang dijual di tamu.

TERTARIK: Pairin (kiri) sedang meneliti salah satu peralatan tradisional yang dijual di tamu.

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memberi jaminan semua pemasalahan yang ditimbulkan oleh rakyat di sini akan diambil perhatian dan tindakan susulan.

“Masalah pencerobohan tanah, jalan runtuh dan tadahan air yang dikemukakan melalui program ini akan diambil tindakan susulan,” katanya kepada Utusan Borneo selepas program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di Pisumpuruan Square, di sini pada Khamis.

Pada program itu, sebanyak 42 kaunter telah dibuka oleh Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan seramai 52 pelanggan hadir mengemukakan masalah yang dihadapi.

Katanya, pencerobohan tanah, keruntuhan jalan dan kerosakan tadahan air memang isu yang perlu diambil berat kerana ia melibatkan kepentingan semua.

Katanya, rakyat juga tahu betapa penting untuk pihak kerajaan melindungi tanah mereka supaya tidak dicerobohi oleh orang-orang yang bukan pemilik ataupun yang mengambil kesempatan untuk melakukan pencerobohan tanpa mengambil kira mengenai pembangunan dan sebagainya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur amat berpuas hati dengan kelancaran program ini dan turut mencadangkan agar hari bertemu pelanggan dapat diadakan pada setiap dua bulan sekali.

Beliau percaya melalui program seumpama ini turut memberi peluang kepada rakyat di kawasan ini mengemukakan masalah mereka kepada wakil rakyat termasuk ketua-ketua jabatan yang turut serta dalam program ini.

“Saya dan pegawai daerah serta semua ketua-ketua jabatan mempunyai ruang yang luas bertemu masyarakat di kawasan ini untuk berbincang dengan perkara-perkara yang dibawa oleh penduduk-penduduk tempatan.

“Memang banyak sekali mereka yang tampil menyampaikan pelbagai pendapat, permohonan dan rayuan selain cadangan.

“Dan memang bagi saya sebagai wakil rakyat berasakan bahawa program ini begitu penting di samping kita berkesempatan untuk berjumpa petani-petani dan peniaga-peniaga di tamu dan berkesempatan untuk membeli-belah dan mendengar masalah-masalah mereka,” katanya.

Justeru katanya, pada keseluruhan program yang diadakan dapat merapatkan perhubungan dengan masyakarat selain mendengar lebih dekat lagi masalah mereka dengan bantuan semua pegawai-pegawai dan ketua-ketua jabatan.

Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, mereka bukan sahaja bersemuka dengannya mengemukakan masalah-masalah tertentu bahkan mereka juga berkesempatan bertemu dengan pegawai-pegawai untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka.

“Pada hari ini saya sempat bertemu seramai 30 penduduk dan ada lagi sebahagian yang tidak sempat kita jumpa dan kita nasihatkah mereka agar berjumpa dengan pegawai-pegawai berkenaan pada waktu pejabat.

“Saya ingin berterima kasih kepada pegawai daerah dan semua pegawai-pegawai yang terlibat untuk bersama-sama dengan masyarakat di sini kerana telah memberi khidmat yang baik dan memuaskan pada perjumpaan ini,” katanya.

“Kita berpuas hati dengan perjumpaan ini kerana kita juga dapat kesempatan untuk mengenal dengan lebih dekat dengan penduduk-penduduk dari kawasan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu.

Pairin berkata, sempena dengan program itu turut diadakan acara menderma darah dan telah berjaya mengutip sebanyak 19 pain.

Turut hadir pada program itu pegawai daerah Thomas Lojigin, Setiausaha Politik Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Daniel Kinsik, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Welfredoline Jakil dan Stanis Buandi, Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong, Ketua Daerah OKK Philip Datuk Kitingan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Silverius Bruno.

Advertisement