Anda di sini

Sibu tuan rumah 4NMIF dan MIMEX

Advertisement

Oleh Florence Nervyn//

 Julaihi (lima kanan), Nazery (dua kanan), Setiausaha Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah Renco Yong (kanan) dan rombongan bergambar kenangan selepas mengadakan tinjauan ke tapak ekspo di STEC.

TINJAUAN: Julaihi (lima kanan), Nazery (dua kanan), Setiausaha Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah Renco Yong (kanan) dan rombongan bergambar kenangan selepas mengadakan tinjauan ke tapak ekspo di STEC.

SIBU: Sibu sebagai pusat pembinaan kapal terbesar di Sarawak telah dipilih sebagai tuan rumah 4th National Marine and Industrial (4NMIF) dan Malaysia International Marine Expo (MIMEX) 2016 bermula 27 hingga 29 September ini.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata, ekspo yang berlangsung selama tiga hari akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu (STEC).

“Manakala, forum akan diadakan di RH Hotel pada 28 September dengan penyertaan pengamal industri perkapalan dan organisasi perkhidmatan sokongan kepada industri maritim,” jelasnya.

Julaihi berkata, sasaran penganjuran ekspo ialah untuk membangunkan industri perkapalan di Sarawak yang mempunyai sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Sibu adalah pusat pembinaan kapal terbesar di Sarawak dengan mempunyai 42 buah limbungan daripada 72 limbungan di negeri ini seperti di Miri, Bintulu dan Kuching,” ujarnya.

Julaihi yang juga Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pesisir) dan Perikanan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tinjauan ke tapak ekspo di STEC semalam.

Beliau berharap menerusi penganjuran ekspo, para pengamal industri dapat berkongsi idea, pendapat dan pengalaman kepakaran masing-masing dalam industri perkapalan.

“Ekspo kali ini turut melibatkan penyertaan peserta dari negara Jerman, Jepun, Korea, Thailand, Singapura dan Semenanjung Malaysia.

“Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Association of Marine Industries of Malaysia (AMIM) Nazery Khalid berkata, penganjuran ekspo dan forum dapat menjadi platform kepada pengamal industri perkapalan.

“Penganjuran turut melibatkan pihak berkepentingan agensi kerajaan untuk membincangkan isu-isu semasa dalam bidang maritim,” ujarnya.

Nazery berkata, situasi industri perkapalan sekarang agak mencabar apabila bermula kegawatan ekonomi global pada tahun 2008.

“Permintaan terhadap perkhidmatan kapal semakin merosot kerana kargo yang diangkut semakin kurang dan juga aktiviti pencarian dan pengeluaran minyak dan gas di kawasan pesisir juga semakin rendah.

“Ini mendatangkan kesan yang negatif kepada industri maritim terutamanya kepada sektor pembinaan dan pembaikian kapal.

“Tetapi, dalam apa jua keadaan yang mencabar, ada juga peluang yang masih wujud di dalam sektor pembinaan kapal,” jelasnya.

Dengan mengadakan forum, Nazery berkata, ia dapat mengumpulkan semua pengamal industri untuk berkongsi idea dan pendapat untuk membincangkan peluang untuk mengatasi cabaran dalam persekitaran yang sengit.

“Ini juga untuk memajukan industri pembinaan dan pembaikian kapal yang juga tunjang ekonomi di negeri ini,” katanya sambil menambah forum kali ini bertemakan ‘Seeking Opportunities Amid Challenges’.

Nazery berharap penganjuran pertama kali di Sibu dan di luar Kuala Lumpur itu akan dapat menaikkan nama Sibu sebagai pusat pembinaan kapal dan mengetengahkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang tersohor dalam industri pembinaan dan pembaikian kapal.

Advertisement