Anda di sini

Guru wanita cedera akibat ditikam

Advertisement

SANDAKAN: Seorang guru wanita cedera di leher akibat ditikam seorang lelaki di kawasan letak kereta berhampiran sebuah restoran di Batu 4 dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP, Zabidi Mohd Zain kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika guru berusia 27 tahun itu sedang memarkir keretanya sebelum membeli makanan di restoran tersebut.

“Belum sempat guru itu keluar dari keretanya, seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau muncul di tepi pintu bahagian pemandu kereta itu dan menyuruhnya duduk di sebelah kiri kereta tersebut.

“Guru itu lalu menjerit meminta tolong yang menyebabkan lelaki itu bertindak menikam lehernya sebelum melarikan diri,” katanya semalam.

Zabidi berkata guru itu pada mulanya memandu keretanya ke kawasan hadapan restoran itu untuk meminta pertolongan, namun orang ramai yang berada di situ tidak memperdulikannya.

Mangsa lalu memandu keretanya balik ke rumah di mana dia dibawa ke hospital oleh rakan serumahnya, katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang menjejaki suspek yang berumur lingkungan 20-an.

Kes disiasat kerana sengaja mendatangkan kecederaan. — Bernama

Advertisement