Anda di sini

Empat kakitangan kerajaan antara tujuh ditangkap bermain judi siber

Advertisement

 Douglas (tengah) dan pegawai-pegawai penyiasat menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada rumah yang digunakan sebagai pusat perjudian siber ‘online’ haram.

DIRAMPAS: Douglas (tengah) dan pegawai-pegawai penyiasat menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada rumah yang digunakan sebagai pusat perjudian siber ‘online’ haram.

KENINGAU: Empat kakitangan kerajaan yang bermain judi siber haram adalah antara tujuh yang ditangkap dalam serbuan yang dilakukan pada sebuah rumah di sebuah kampung di sini pada malam menyambut Hari Kemerdekaan.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Ngeging Takong berkata, mereka adalah enam rakyat tempatan termasuk penjaga premis itu dan seorang rakyat asing berumur antara 26 dan 44 tahun dan berasal dari beberapa kampung di sini.

Menurut beliau pada 31 Ogos jam 2.32 pagi, satu laporan telah dibuat oleh pengadu seorang pegawai kanan polis yang mengatakan bahawa pada 30 Ogos kira-kira jam 12.30 pagi pengadu mengetuai sepasukan pegawai dan anggota polis pelbagai cawangan Ibu Pejabat Polis daerah membuat serbuan Ops Dadu (siber online haram) di sebuah rumah yang disyaki menganjurkan kegiatan perjudian.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya menangkap tujuh suspek yang sedang bermain judi siber dan merampas peralatan digunakan untuk kegiatan itu.

“Tangkapan dan barang rampasan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Katanya, antara barang rampasan adalah enam komputer riba pelbagai jenama, enam tetikus, enam bateri komputer riba, sebuah modem broadband, sebuah modem jenama TP-Link, tiga meja, lima kerusi plastik, dua penyambung soket, satu helai bil elektrik SESB dan wang tunai RM2,623.

Douglas berkata, semua suspek telah direman selama dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 48 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara selama lima tahun.

Beliau turut berterima kasih kepada pemberi maklumat yang menghantar WhatsApp mengenai kegiatan dan lokasi pusat itu diadakan kepadanya.

“Sebelum serbuan dibuat, pihak polis telah mengadakan pemantauan ke atas rumah itu pada petang 30 Ogos dan diikuti dengan serbuan pada awal pagi 31 Ogos.

“Saya meminta kepada masyarakat di daerah ini agar dapat memberikan maklumat kepada saya atau pegawai-pegawai saya jika terdapat rumah yang mengadakan judi siber online,” katanya.

Douglas menegaskan polis tidak akan berkompromi dan akan bertindak membanteras pusat-pusat judi siber haram yang beroperasi di daerah ini.

“Polis mempunyai kuasa meminta pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memotong bekalan elektrik di premis judi siber haram ini.

“Bagi saya, judi siber haram ini banyak keburukannya dan saya percaya sudah mula beroperasi di kampung-kampung terpencil di daerah ini yang turut menggalakkan pelajar bermain judi siber,” katanya.

Advertisement