Anda di sini

Emart Batu Kawa anjur karnival meriah dengan pelbagai aktiviti

Advertisement

KUCHING: Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Emart Batu Kawa 2016 berlangsung dengan jayanya, malam kelmarin.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Ngu Ting Sii, sepanjang dua tahun beroperasi, pelbagai aktiviti diadakan dan disusun atur oleh pihak pengurusan pasar raya itu khusus untuk para pengunjung yang berkunjung di situ.

“Visi kami ialah untuk mengajak masyarakat untuk hidup dengan lebih sihat, aman dan bahagia, justeru kami telah membuat banyak perkara yang melibatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha memenuhi visi tersebut.

“Malah, kami juga cuba membuat perkara yang dapat memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak terutamanya kepada pembekal, vendor dan pelanggan yang datang,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap melalui apa juga program dan aktiviti yang telah dijalankan, ia dapat melahirkan aura positif dalam individu sekali gus dapat memberi kesan baik kepada ahli keluarga masyarakat, ahli keluarga Emart serta seluruh rakyat di negeri ini.

“Aura ini bermula daripada diri kita sendiri dan ini akan memberi impak kepada seluruh manusia,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan aset dan harta yang diperolehi Pasar Raya Emart Batu Kawa sepanjang dua tahun tempoh operasi itu merupakan aset dan harta untuk masyarakat setempat.

Jelasnya, meskipun sedikit, ia tetap disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, mengulas mengenai kem yang telah dianjurkan Pasar Raya Emart Batu Kawa, terdapat 23 kem untuk para guru dan 36 kem melibatkan para pelajar melibatkan bangsa Melayu dan Cina.

“Kami percaya bahawa kekuatan sesebuah negara amat bergantung kepada para pelajar, oleh sebab inilah kami membuat begitu banyak usaha untuk masyarakat bermula daripada guru termasuk para pelajar kerana pihak kita cuba untuk menanam tenaga positif bermula daripada mereka,” katanya.

Pengurus Hartanah Emart Property (Batu Kawa), Simon Lee turut merakamkan penghargaan beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival tersebut pada tahun ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja kami Nescafe, Taka Cake House, Megalane Sarawak, Power Root, Vivo Cellular Sarawak serta banyak lagi sebagai penaja kami kerana komitmen yang ditunjukkan mereka kepada para pengunjung yang hadir sehingga para pengunjung mendapat pengalaman yang luar biasa pada karnival kali ini.

“Tidak ketinggalan pihak yang sentiasa menyokong kami dari belakang iaitu Beam Management, Borneo Food Hunter serta banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Simon turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Cawangan Perlesenan dan Penguatkuasaan (FINAS) Mohd Saad Osman kerana membenarkan pihak mereka untuk menganjurkan tayangan filem di kawasan tempat letak kereta bahagian atas bumbung.

“Menerusi kebenaran yang beliau berikan membolehkan pihak kami menjalankan program tayangan filem di samping mengutip derma untuk disumbangkan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan saya amat berterima kasih kepada beliau.

“Hari ini (malam kelmarin) merupakan hari bersejarah kepada kita semua kerana berjaya menganjur karnival terbesar di Sarawak serta merupakan tahun kedua Emart Batu Kawa beroperasi dan pada hari yang sama kita turut mempunyai Majlis Perasmian Sarawak Megalane dan bagi pihak hartanah Emart Batu Kawa saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana pengunjung meluangkan masa berharga menyertai majlis pembukaan ini.

“Saya berharap semua pihak menyertai kesemua aktiviti yang telah kami susun sepanjang karnival ini yang pastinya menjanjikan yang terbaik dan bermakna kepada semua,” katanya lagi.

Aktiviti perasmian malam kelmarin itu menyaksikan perasmian yang penuh gilang-gemilang serta berwarna-warni dan pelbagai aktiviti disusun sepanjang majlis pembukaan ini seperti persembahan tarian naga, tayangan filem serta pertunjukan bunga api.

Advertisement