Anda di sini

Tuaran menang perbarisan sempena Hari Kebangsaan

Advertisement
 Ketua Kontinjen DBKK Mohd Redzuan Yusof menerima hadiah daripada Zakaria, diperhatikan Yeo (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah DBKK Bahari Hasan.

SEMANGAT NASIONALISME: Ketua Kontinjen DBKK Mohd Redzuan Yusof menerima hadiah daripada Zakaria, diperhatikan Yeo (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah DBKK Bahari Hasan.

KOTA KINABALU: Persatuan dan sekolah yang berasal dari Daerah Tuaran meraih kemenangan dalam acara Perbarisan Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Sabah yang telah diadakan di sini, kelmarin.

Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) dan Persatuan Komulakan Lotud Sabah (KLOSA), kedua-duanya dari Tuaran, masing-masing muncul johan dan naib johan dalam kategori Persatuan Etnik Sabah. Tempat ketiga jatuh kepada Persatuan Lundayeh Sabah.

Sementara itu, SMK Badin Tuaran telah memenangi kedua-dua tempat pertama dan kedua dalam kategori Sekolah Menengah melalui persatuan PKBM Darat dan Kadet Bombanya. Di tempat ketiga ialah Kor Kadet Polis SMK Putatan.

Selain itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Tuaran meraih naib johan dalam kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Johan ialah Kelab 1Malaysia Jabatan Penerangan dan tempat ketiga Pandu Puteri Kota Kinabalu.

Bagi kategori Sekolah Rendah, johan ialah SK Seri Gaya diikuti di tempat kedua oleh SK St Francis Convent dan ketiga SK Sacred Heart.

Dalam kategori IPTA/IPTS, johan ialah Komando Kesatria UiTM. Naib johan ialah Askar Wataniah Politeknik Kota Kinabalu dan tempat ketiga Kimanis Petroleum.

Syarikat pembekal tenaga SESB muncul johan dalam kategori Swasta/Komersil, diikuti Kumpulan Yayasan Sabah dan Kumpulan Sedco.

Bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam, pemenang ialah Jabatan Penguatkuasaan DBKK diikuti Majlis Perbandaran Sandakan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Setelah ‘berehat’ satu tahun, Jabatan Air Negeri Sabah kembali menjadi johan dalam kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi.

Dalam perbarisan tahun lalu, jabatan itu mengambil bahagian dalam perbarisan hanya untuk pertunjukan sahaja setelah menjadi johan selama 10 tahun berturut-turut sebelum itu. Justeru, tahun lalu mereka mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada jabatan lain.

Di tempat kedua dalam kategori itu ialah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan ketiga Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohd Zakaria Edris dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan tahun ini.

Beliau yang mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Hajiji Noor dalam penyampaian hadiah mengatakan tahun ini sebanyak 175 kontinjen mengambil bahagian, satu rekod jika dibandingkan tahun lalu yang hanya menyaksikan penyertaan 143 kontinjen.

Katanya tahun ini sebanyak 12 persatuan etnik turut mengambil bahagian.

Hadir pada penyampaian hadiah itu ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Rayman Loudrize dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Ir Teo Chee Kong.

Advertisement