Anda di sini

Najib lancar kempen ‘Beyond Nations’

Advertisement

Usaha berterusan kerajaan meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport negara

 Najib (tengah) melancarkan jenama ‘Beyond Nations’ iaitu inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menggalakkan eksport di kalangan SME Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut hadir Mustapa (kiri) dan Dzulkifli. — Gambar Bernama

DILANCAR: Najib (tengah) melancarkan jenama ‘Beyond Nations’ iaitu inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menggalakkan eksport di kalangan SME Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut hadir Mustapa (kiri) dan Dzulkifli. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia melancarkan kempen kesedaran jenama,‘Beyond Nations’, usaha untuk melonjakkan serta menggalakkan budaya perniagaan eksport dalam kalangan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beyond Nations, usaha oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksport Negara (NEC) di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kempen itu adalah seiring dengan usaha berterusan kerajaan meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport, daripada 17.6 peratus kepada 23 peratus menjelang 2020.

Beliau berkata kempen berkenaan, menyasar untuk merakyatkan perniagaan eksport, bersandarkan tonggak utama iaitu komunikasi, mendidik dan menyuburkan PKS di semua peringkat, khususnya pengeksport bagi kali pertama.

“Kita mahu usahawan PKS bukan hanya memasarkan barangan mereka di peringkat tempatan, malah turut berani meneroka pasaran luar negara.

“Cabaran terbesar kita adalah memberi kesedaran kepada PKS agar mereka memahami perniagaan eksport,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Beyond Nations di sini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata agensi berkenaan menetapkan matlamat supaya PKS sentiasa menyasarkan pasaran tersedia di luar Malaysia.

Beliau berkata walaupun PKS berupaya mempergiatkan perniagaan sehingga kira-kira 97 peratus di Malaysia, namun kebanyakan hanya memenuhi pasaran tempatan.

Terdapat lebih 700,000 PKS di Malaysia ketika ini.

“Kita mahu PKS melangkaui sempadan, melepasi minda pemikiran tempatan mereka dan keluar daripada keadaan selesa masing-masing untuk meraih peluang di pasaran luar negara yang sangat luas,” katanya.

Dzulkifli berkata Malaysia, yang ketika ini di kedudukan ke-23 dari segi negara eksport terbesar dunia dengan mengeksport ke lebih 200 negara, berhasrat menjadi 20 negara utama eksport terbesar dunia melalui Beyond Nations.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan sempena pelancaran Beyond Nations semalam, MATRADE berkata, bahagian PKS daripada eksport keseluruhan masih rendah iaitu antara 10 dan 29.9 peratus di ASEAN.

Merujuk kepada Laporan Tahunan PKS 2014/2015, penumpuan PKS Malaysia adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 90 peratus atau 580,985 perusahaan, manakala enam peratus atau 37,861 perusahaan daripada PKS keseluruhan adalah sektor pembuatan diikuti tiga peratus (atau 19,283) dalam sektor pembinaan.

Baki satu peratus (6,708) dalam sektor pertanian dan 0.1 peratus dalam sektor perlombongan dan kuari.

Bahagian PKS daripada kadar pekerjaan keseluruhan di Malaysia pada 65 peratus. — Bernama

Advertisement