Anda di sini

TM semak semula perbelanjaan modal separuh kedua 2016 kepada antara 30-35 peratus

Advertisement
  Pengerusi Telekom Malaysia Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob (tengah) menunjukkan prestasi separuh pertama tahun kewangan untuk 2016 di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir  Zamzamzairani (kanan)  dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ketua Pegawai Kewangan Datuk Bazlan Osman. — Gambar Bernama

MENGGALAKKAN: Pengerusi Telekom Malaysia Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob (tengah) menunjukkan prestasi separuh pertama tahun kewangan untuk 2016 di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Zamzamzairani (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ketua Pegawai Kewangan Datuk Bazlan Osman. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menyemak semula peruntukan perbelanjaan modalnya bagi separuh kedua 2016 dengan menaikkannya kepada antara 30 dan 35 peratus daripada hasil daripada antara 25 dan 30 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata perbelanjaan modal itu disemak semula selepas mengambil pertimbangan pelancaran evolusi jangka panjang (LTE) kumpulan dan perkhidmatan mudah alih webe.

“Telah menjadi trend kami sejak beberapa tahun lepas memperuntukkan perbelanjaan modal tinggi bagi separuh kedua tahun kewangan bagi pelancaran projek Fasa 2 Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB 2) dan SubUrban Broadband (SUBB) serta LTE,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan separuh pertama 2016 syarikat.

Bagi keputusan separuh pertama, perbelanjaan modal TM ialah sebanyak RM938.5 juta atau 15.9 peratus daripada hasil, dan pecahannya termasuklah 45 peratus bagi akses, 32 peratus bagi rangkaian teras dan 23 peratus bagi sistem sokongan.

Zamzamzairani berkata beliau menjangkakan peruntukan perbelanjaan modal bagi 2017 dan 2018 menurun kerana kemuncaknya adalah tahun ini dengan peruntukan bagi HSBB2, SUBB, serta webe.

Mengenai prestasi separuh pertama 2016, beliau berkata ia menggalakkan meskipun persekitaran yang mencabar.

“Kami mencatatkan hasil kumpulan sebanyak RM5.9 bilion, kenaikan 5.1 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami mengekalkan penerajuan kami dalam bahagian jalur lebar dengan kenaikan 3.4 peratus tahun ke tahun bagi jumlah pelanggan jalur lebar kepada 2.37 juta pelanggan,” katanya.

UniFi terus mencatatkan prestasi kukuh dengan tambahan bersih kira-kira 118,000 pelanggan kepada lebih 900,000 pelanggan pada suku kedua 2016, katanya.

Pada masa hadapan, TM berada di landasan dengan pelaksanaan rancangannya ketika ia meneruskan perjalananya bagi 2016 dengan menumpukan kepada pemusatan, revolusi digital, inovasi dan produktiviti, kata Zamzamzairani. — Bernama

Advertisement