Anda di sini

Malaysia, Indonesia akan lantik duta promosi manfaat produk minyak sawit

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia berhasrat melantik seorang Duta Minyak Sawit bagi mempromosikan manfaat pengambilan pelbagai produk kesihatan berasaskan bahan itu di pasaran antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata ia sejajar usaha menangkis pelbagai persepsi salah dilemparkan oleh kumpulan pelobi anti minyak sawit terhadap minyak berkenaan.

Malah, katanya, kalangan pengeluar kini berdepan halangan bukan tarif di negara pengimport utama minyak sawit.

“Ini termasuk produk makanan yang diletakkan label ‘Tiada Minyak Sawit’ serta cadangan mengenakan cukai import lebih tinggi terhadap produk berasaskan minyak itu. Ini merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dengan Menteri Koordinator Bidang Maritim dan Sumber Indonesia, Luhut Binsar Panjaitan, di sini, kelmarin.

Sementara itu mengulas lanjut pelantikan duta itu, Luhut berkata individu itu haruslah seorang yang berpengaruh dan berimej baik bagi mempromosikan produk minyak sawit.

“Kita ada senarai beberapa nama tetapi perlu membincangkannya secara terperinci dengan Datuk Seri (Mah),” katanya.

Menurut Luhut, Indonesia dan Malaysia juga bersetuju untuk bekerjasama bagi menggalakkan penggunaan biodiesel di negara lain, khususnya China.

“China sedang berusaha mengatasi masalah alam sekitarnya dan kita cuba untuk meyakinkan kerajaan China mengenai manfaat penggunaan biodiesel B5 dan B10,” katanya.

Biodiesel B5 atau B10 adalah hasil campuran 5-10 peratus metil ester sawit dan 90-95 peratus diesel biasa.

Selain itu, ketika mengulas hasil mesyuarat itu, Mah berkata Malaysia dan Indonesia masing-masing bersetuju memberi sumbangan awal AS$5 juta (AS$1 = RM4.05) bagi operasi Sekretariat CPOPC.

“Para menteri juga bersetuju supaya Sekretariat CPOPC mengadakan misi peringkat menteri ke negara pengimport utama, termasuk Kesatuan Eropah bagi menangani kebimbangan mengenai minyak sawit dari sudut nutrien dan perspektif kemajuannya,” katanya.

Mah berkata lapan negara pengeluar minyak sawit iaitu Thailand, Nigeria, Colombia, Papua New Guinea, Ivory Coast, Honduras, Guatemala dan Brazil juga berminat untuk menyertai CPOPC.

“Penubuhan CPOPC dijangka dapat memperkukuh kerjasama dan kolaboratif dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit serta menangani pelbagai isu berkaitan,” katanya. — Bernama

 

Advertisement