Anda di sini

DTN capai hasil memberangsangkan

Advertisement

Menyangkal tohmahan segelintir pihak bahawa M’sia adalah negara gagal

KUALA LUMPUR: Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang masuk tahun ketujuh pelaksanaannya terus membuahkan hasil memberangsangkan sekali gus menyangkal tohmahan segelintir golongan bahawa Malaysia adalah negara yang gagal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan mengambil contoh pembentangan laporan Program Transformasi Negara pada April lalu, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara telah mencapai 99 peratus indeks prestasi utama (KPI) penyampaiannya.

“Bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP), menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara, kita telah Berjaya mencapai angka 111 peratus KPI manakala melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI telah menjangkau sasaran 108 peratus,” katanya dalam ucapan Amanat Merdeka 2016, sempena Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-59, di sini, malam kelmarin.

Najib berkata usaha keras kerajaan dan pelbagai agensinya telah mendapat pengiktirafan organisasi antarabangsa antaranya Forum Ekonomi Dunia yang telah meletakkan Malaysia di tangga ke-18 dalam Laporan Daya Saing Global.

Selain itu, katanya, menurut Ranking Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2015-2016, Malaysia berada di tangga ke-9, satu-satunya pasaran sedang pesat membangun yang tersenarai dalam sepuluh negara teratas.

“Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari segi Mudah Menjalankan Perniagaan, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada tahun 2015,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia turut menjadi sebuah negara Islam contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai contoh ikutan yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah dan telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015 daripada senarai 70 buah negara.

Selain itu, katanya, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar dunia, merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi AS$320 bilion setakat penghujung 2015.

Meskipun negara menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua berjaya mencatat perkembangan sebanyak empat peratus, kata Najib. — Bernama