Anda di sini

Jambori Amal Sandakan latih ahli baharu berkomitmen

Advertisement
 Para peserta Jambori Amal Malaysia Zon Sandakan membersihkan kawasan sekitar Apartmen Indah Jaya dan Masjid Nurusyakirin.

KHIDMAT MASYARAKAT: Para peserta Jambori Amal Malaysia Zon Sandakan membersihkan kawasan sekitar Apartmen Indah Jaya dan Masjid Nurusyakirin.

SANDAKAN: Jambori Amal Malaysia Zon Sandakan yang berlangsung baru-baru ini telah berjaya melatih ahli baharu untuk istiqamah dengan gerak kerja Jabatan Amal.

Perkhemahan tiga hari dua malam bermula 26 hingga 28 Ogos lepas di Scout’s Nature Park itu telah menarik penyertaan anak muda dari sekitar kawasan Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan, Beluran dan Tongod.

Selain memperkukuhkan pengetahuan peserta terhadap Jabatan Amal, mereka juga diberikan pengisian yang sinonim dengan Jabatan Amal seperti ilmu pertolongan cemas, kawalan lalu lintas, kaedah ikatan, ikhtiar hidup, kawad kaki dan sebagainya.

Ketua Pemuda Pas Libaran Nasruddin Lahapin dalam ucapan perasmiannya, berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta di sepanjang jambori itu berlangsung.

“Para peserta sangat beruntung kerana pada usia muda lagi sudah menyertai Jabatan Amal yang kita tahu sangat menonjol dalam hal kebajikan dan kemasyarakatan. Tidak seperti anak muda lain yang lebih suka membuang masa dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Beliau juga berharap agar semua peserta dapat istiqamah dengan gerak kerja Jabatan Amal walaupun mereka terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit.

Terdahulu, Ketua Amal Zon Sandakan Adam Ahmad menyatakan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan jambori kali ini dan berharap mereka akan terus menunjukkan komitmen yang tinggi apabila bertugas kelak.

Beliau turut memberitahu Jambori Amal Negeri Sabah akan diadakan pada September ini dan mengajak peserta untuk memberi sokongan serta menyertainya.

Sementara itu, seorang peserta, Nizam Amidra berkata jambori itu telah memberi pendedahan mengenai ilmu baharu dalam perkhemahan kepada para peserta di samping dapat berkenalan dengan rakan baharu dari kawasan lain.

Pada hari terakhir jambori, peserta diberi pendedahan terhadap aktiviti khidmat masyarakat dengan membersihkan kawasan sekitar Apartmen Indah Jaya dan Masjid Nurusyakirin di Batu 4.

Ia diadakan dengan tujuan bagi melatih mereka untuk lebih dekat dengan aktiviti kebajikan kepada masyarakat.

Pada jambori kali ini, Kumpulan Al-Fateh dinobatkan sebagai kumpulan terbaik.

Manakala, Anugerah Peserta Terbaik dan Anugerah Khas masing-masing diberikan kepada Shahzraizal Amidra dan Aiman Zaki Mohamad.

Advertisement