Anda di sini

Untung sebelum cukai FGV susut pada suku kedua

Advertisement
 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad (empat kiri) melihat laporan suku kedua FGV semasa taklimat media mengenai Laporan Suku Kedua Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) 2016, semalam. — Gambar Bernama

TERTARIK: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad (empat kiri) melihat laporan suku kedua FGV semasa taklimat media mengenai Laporan Suku Kedua Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) 2016, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) susut kepada RM107.73 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2016 berbanding RM190.27 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengusaha perladangan sawit itu mencatatkan perolehan sebanyak RM4.14 bilion bagi suku berkenaan berbanding RM4.19 bilion yang dicatatkan pada suku kedua tahun sebelumnya, katanya kepada Bursa Malaysia semalam.

Sementara itu, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM108.16 juta disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen perniagaan kecuali gula, berbanding kerugian sebanyak RM69.98 juta yang dialami pada suku sebelumnya.

“Keuntungan daripada segmen gula berkurangan 41.1 peratus kepada RM39.15 juta daripada RM66.50 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya terutamanya disebabkan oleh kos pengeluaran lebih tinggi tetapi diimbangi dengan jumlah jualan gula yang lebih tinggi,” kata FGV.

Bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun, 2016, untung sebelum cukai FGV berkurangan kepada RM37.38 juta berbanding RM263.14 juta setahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dan kos gula mentah yang tinggi.

Perolehan bagi tempoh berkenaan meningkat kepada RM7.895 bilion daripada RM6.90 bilion.

Segmen huluan sawit kumpulan mencatatkan keuntungan lebih rendah kepada RM46.10 juta pada 2016, berikutan penurunan 18 peratus dalam pengeluaran MSM kepada 1.14 juta tan metrik. — Bernama

Advertisement