Anda di sini

Malaysia: Bina negara berdaya tahan

Advertisement

Perlu terus yakin dan tumpukan kepada membina tonggak kekuatan

KUALA LUMPUR: Selepas mencatatkan pertumbuhan perlahan bagi enam suku tahunan berturut-turut, Malaysia akan meneruskan agenda pertumbuhan dan projek pembangunan modal, dalam menggerakkan tahap ekonomi yang lebih tinggi.

Tidak dinafikan 2016 akan menjadi tahun yang mencabar kepada negara susulan persekitaran ekonomi global yang lembap.

Namun, ia perlu terus teguh untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dan berdaya tahan menjelang 2020.

Walaupun dalam tempoh mencabar ini, Malaysia perlu terus yakin dan menumpukan kepada membina tonggak kekuatannya.

Ini malah, meningkatkan standard tadbir urus, daya saing untuk memastikan keyakinan dan daya tahan pertumbuhan negara kekal utuh.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016 berbanding 4.9 peratus pada suku sama tahun lepas, menunjukkan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dengan risiko penurunan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Fitch Ratings menyatakan penarafan ‘A-’ ke atas Malaysia mencerminkan kedudukan kredit luaran bersih yang kukuh dengan pertumbuhan KDNK yang juga kekal kukuh berbanding median ‘A’ rakan yang turut dinilai manakala akaun semasa yang masih dalam lebihan walaupun angkanya berkurangan.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan KDNK sebenar Malaysia meningkat 4.0 peratus pada 2016 berbanding pertumbuhan 5.0 peratus pada tahun lepas.

Fitch berkata permintaan penggunaan swasta dan perbelanjaan berterusan ke atas projek-projek strategik oleh kerajaan dan syarikat milik kerajaan dijangka menyokong pertumbuhan untuk menangani sebahagian tekanan penurunan daripada permintaan luaran yang lemah.

Bagaimanapun, dilaporkan petunjuk struktur Malaysia, terutamanya tahap pendapatan dan standard tadbir urus, masih membimbangkan, yang mendapat banyak perhatian negatif.

Isu lain termasuklah kebimbangan mengenai peningkatan hutang isi rumah serta kos sara hidup dan perbelanjaan yang memberi tekanan kepada rakyat.

Ramai yang perlu menanggung tahap hutang yang tinggi untuk menampung dan mengekalkan aset dan perbelanjaan, seperti rumah dan perbelanjaan lain.

Penyusutan ringgit dan kejatuhan harga minyak mentah turut mengekang kuasa beli pendapatan isi rumah dan menghalang usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi.

Kerajaan meraih 20 peratus daripada pendapatannya daripada sumber berasaskan tenaga.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia dianggarkan susut kepada US$10,110 pada 2015 berbanding US$10,760 per kapita pada 2014.

PNK per kapita yang rendah itu juga disebabkan purata kadar pertukaran pada 2015, berdasarkan penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS pada separuh kedua 2015.

Dalam laporan itu juga, Bank Dunia mendefinisikan negara berpendapatan tinggi sebagai mempunyai minimum PNK sebanyak AS$12,475 bagi tahun 2015.

Dalam memperoleh status sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi sepenuhnya, Malaysia perlu menguasai inovasi dan meningkatkan daya saing.

Ini penting terutamanya dalam mendapatkan sumber pendapatan lain dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber berasaskan minyak.

Langkah ini bagi membolehkan ekonomi bergerak dalam kadar yang mampan, berdasarkan risiko penurunan daripada kejatuhan harga minyak mentah.

Aktiviti sektor swasta, yang berkembang pada kadar yang kukuh, turut dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Ini berikutan pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Laporan tahunan NTP menunjukkan bahawa meskipun negara perlu mengubah suai Bajet 2016 dan menyediakan penampan terhadap kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia, kerajaan tidak projek pembangunan modal.

Beberapa projek besar seperti pembangunan MRT dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), dijangka diteruskan walaupun ekonomi kurang memberangsangkan.

Projek Keretapi Laju Malaysia-Singapura (HSR) yang ditandatangani baru-baru ini antara Malaysia dan Singapura dijangka merangsang pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua bandar apabila mula beroperasi pada 2026.

Kerajaan telah dipuji kerana mengambil langkah tepat dalam membina ketahanan fiskal dan mempelbagaikan ekonomi secara efektif.

Daripada sebuah negara yang berasaskan komoditi, Malaysia telah meningkatkan kedudukannya dengan ketara dalam industri pembuatan, iaitu sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang telah mendorong ke arah negara berpendapatan sederhana tinggi.

Malaysia kini dikenali sebagai antara pengeksport terkemuka di dunia bagi komponen semikonduktor serta produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Negara juga telah berjaya menempa nama dalam sektor kewangan, sebagai hab utama bagi kewangan Islam.

Ia dikenali sebagai ‘harimau’ ekonomi Asia sehingga bermulanya krisis kewangan Asia pada 1997-1998, disebabkan terutamanya oleh spekulator mata wang dan masalah kredit yang membawa kepada krisis kewangan.

Malaysia mengambil beberapa langkah untuk melindungi ekonomi semasa krisis itu melalui pelaksanaan kawalan modal, termasuk tambatan ringgit yang memberikan sedikit sebanyak ketentuan dan kestabilan kepada pelabur.

Agensi penarafan antarabangsa turut memperakui yang Malaysia akan mengekalkan laluan pertumbuhan kukuh, disokong oleh eksport barangan pembuatan dan penggunaan swasta serta pelaburan.

Sejak 2013, Malaysia kekal dalam zon selamat fiskal dengan defisit fiskal berkurangan kepada 3.2 peratus daripada KDNK setakat tahun lepas daripada 5.4 peratus pada 2010, seiring dengan sasarannya.

Hutang awam Malaysia pada 54.5 peratus daripada KDNK, di bawah paras 55 peratus.

Pada April 2015, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dilaksanakan, menyediakan penampan kepada kerajaan setelah hasil yang lebih rendah daripada pendapatan berkaitan minyak dengan harga minyak mentah yang berterusan lemah.

Rasionalisasi subsidi juga memberikan juga telah menyediakan daya tahan fiskal yang lebih besar, di samping kerajaan kekal fokus kepada komitmennya untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sokongan untuk perniagaan tempatan.

“Apabila pasaran diliberalisasikan dan Perkongsian Trans-Pasifik bermula, perniagaan tempatan perlu mencari jalan untuk membina produk dan perkhidmatan terbaik yang boleh bertahan dengan ujian persaingan.

“Bagi pihaknya, kerajaan akan terus membantu dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang maju,” kata laporan NTP.

Satu lagi cabaran melibatkan usaha mewujudkan rangka kerja yang baik untuk mentadbir pembiayaan politik di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan peluang sama rata dalam politik.

“Penubuhan Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik pada Ogos 2015 menyediakan beberapa jaminan, tetapi lebih banyak lagi yang perlu dilakukan dan usaha ini berterusan,” kata laporan itu.

Oleh itu, adalah penting bagi dasar struktur diguna pakai, yang boleh merangsang pertumbuhan Malaysia.

Malaysia perlu mempunyai keberanian untuk mencapainya.

Sempena Hari Kebangsaan ke-59, marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang dan berbangga dengan negara yang berdaya tahan dan makmur.

Semoga negara kita terus berjaya! — Bernama

Advertisement