Anda di sini

JKDM lancar Ops CBOS secara berperingkat mulai 1 Sept

Verifikasi dan pengauditan ke atas syarikat berdaftar GST

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melancarkan operasi Strategi Lautan Biro Kastam (Ops CBOS) secara berperingkat mulai 1 Sept bagi melaksanakan tindakan verifikasi dan pengauditan ke atas syarikat berrdaftar dengan sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata bagi peringkat pertama, sebanyak 50,000 syarikat dipilih, dan syarikat tersebut akan diaudit bagi memastikan mereka berada pada landasan yang betul.

“Secara keseluruhannya terdapat 420,000 syarikat berdaftar dengan GST, dan selepas pelaksanaan regim percukaian baharu itu satu setengah tahun yang lepas, kami mahu memastikan ia beroperasi dengan betul, dan untuk itu memulakan ke atas 50,000 syarikat yang dipilih secara rawak.

“Proses berikutnya akan dilaksanakan pada Mac tahun depan, katanya kepada media sempena majlis Persidangan GST 2016 dan pelancaran operasi CBOS.

Menurut Khazali, bagi operasi peringkat pertama (50,000 syarikat), 1,500 pegawai kastam dan terlibat dan proses tersebut akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.

“Kami juga mengalu-alukan sebarang cadangan daripada orang ramai, terutama pengamal percukaian seperti akauntan, untuk memberi input masing-masing dalam pelaksanaan GST.

“Mereka mungkin mengenal pasti sesuatu yang tidak betul dan boleh membuat cadangan balas kepada jabatan itu supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kutipan terkumpul setakat ini, beliau berkata jumlah itu belum mengambil kira bayaran balik yang perlu dilakukan.

“Namun, angkanya menetapi unjuran kutipan,” katanya.

Beliau juga berkata Bajet 2017 tidak akan menyaksikan perubahan ke atas GST.

Sementara itu, Institut Perakauan Negara menganjurkan persidangan dua hari bertema ‘Masa Depan Pertumbuhan Ekonomi’ bagi menerangkan kepada kira-kira 500 persrta mengenai perkembangan terkini regim GST yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. — Bernama