Anda di sini

CIMB menyemak turun unjuran pertumbuhan pinjaman bagi 2016

KUALA LUMPUR: CIMB Group menyemak turun unjuran pertumbuhan pinjamannya kepada antara enam dan tujuh peratus daripada 10 peratus bagi 2016.

Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata syarikat itu turut menyemak semula sasaran Pulangan ke atas Ekuiti (ROE) kepada sembilan peratus daripada 10 peratus sebelum ini, seiring dengan unjuran konsensus.

Beliau berkata unjuran lebih rendah pertumbuhan pinjaman itu disebabkan persekitaran operasi mencabar di seluruh rantau di samping ketidaktentuan dan ketidakstabilan luaran yang berterusan.

“Pertumbuhan pinjaman dan unjuran ROE dijangka berada di bawah sasaran asal 2016 kami.

“Bagaimanapun, semua sasaran lain seperti modal, kos dan bayaran dividen kekal sama,” katanya kepada kepada pemberita semasa taklimat separuh pertama tahun kewangan 2016 CIMB Group di sini, semalam.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2016, syarikat perbankan bersepadu itu mencatatkan kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.18 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2016 daripada RM883.74 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku itu meningkat kepada RM3.9 bilion daripada RM3.83 bilion sebelum ini.

Bagi perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata CIMB Group kekal yakin dengan prestasi anak syarikat Indonesianya, CIMB Niaga, walaupun persekitaran operasi tempatan dijangka terus mencabar.

“Prestasi CIMB Malaysia dan CIMB Singapore dijangka kurang memberangsangkan, seiring dengan persekitaran ekonomi perlahan di kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata pencapaian anak syarikat CIMB di Thailand, CIMB Thai, turut dijangka suram memandangkan ia terus menumpu kepada kualiti aset dan penyusunan semula operasi.

Justeru itu, beliau berkata kumpulan perbankan berkenaan menjangkakan prestasi keseluruhan lebih baik pada separuh kedua 2016, dipacu oleh perniagaan Indonesia dan kawalan kos yang ketat.

CIMB Group telah menutup 22 cawangannya sejak Ogos 2015 sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan perbelanjaan operasi, serta menggalakkan pendigitalan, katanya.

“Kami memanfaatkan teknologi untuk menambah pengalaman pelanggan dalam berurus niaga dengan bank,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sebuah lagi cawangan akan ditutup sebelum akhir tahun ini dan kesemua kakitangan di cawangan yang ditutup akan ditempatkan semula di cawangan lain bagi tujuan mengoptimumkan sumber manusia.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai CIMB Group bagi tempoh enam bulan pertama 2016 meningkat kepada RM2.31 bilion daripada RM1.7 blion pada tempoh sama tahun lepas, manakala perolehan bertambah kepada RM7.62 bilion daripada RM7.51 bilion.

Tengku Zafrul berkata prestasi memberangsangkan pada separuh pertama itu disokong oleh lonjakan 241.2 peratus tahun ke tahun di Indonesia dan usaha pengurusan kos mampan.

Beliau berkata keuntungan sebelum cukai perbankan pengguna meningkat sebanyak 35.8 peratus tahun ke tahun dipacu pertumbuhan pinjaman serantau ditambah dengan kos overhed dan peruntukan yang rendah.

“Pertumbuhan pinjaman separuh pertama susut 6.6 peratus tahun ke tahun susulan perbankan pengguna, deposit berkembang 7.1 peratus disokong oleh peningkatan 7.8 peratus akaun simpanan dan semasa, dengan perbelanjaan operasi turun 0.7 peratus dan ROE tahunan pada 8.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata projek T18 CIMB Group, satu usaha untuk menambahbaik pengurusan risiko, pengurusan kualiti aset dan kos, menunjukkan kesan positif seperti yang ditunjukkan melalui keputusan kewangan.

Mengenai perbankan Islam, Tengku Zafrul berkata CIMB Islamic, cabang perbankan Islam syarikat itu, menyaksikan keuntungan sebelum cukai melonjak 43 peratus kepada RM368 juta pada separuh pertama 2016 dipacu prestasi segmen pengguna yang lebih baik.

Aset pembiayaan kasar CIMB Islamic berkembang 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM42.7 bilion, menyumbang 14.3 peratus daripada pinjaman keseluruhan syarikat, dengan deposit keseluruhan naik 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM46.5 bilion. — Bernama