KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes penyebaran batuk kering (tibi) tertinggi di Malaysia.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Christina Rundi berkata, nisbah kes penyebaran tibi yang dicatatkan adalah 130 kepada 10,000 populasi.
“Daripada 1 Januari sehingga 28 Mac tahun ini, JKNS mencatatkan 1,121 kes tibi dengan jumlah tertinggi 157 di Kota Kinabalu.
“Diikuti daerah Tawau dengan 104 kes, Sandakan (95) dan Semporna sebanyak 92 kes,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Makmal Mikrobiologi Automatik Pertama dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Queen Elizabeth kelmarin.
Sementara itu Christina berkata, daripada cabaran penjagaan kesihatan, kes sepsis menjejaskan lebih daripada 20 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Jelasnya, melalui Pendaftaran Rawatan Rapi Malaysia (MRIC), kecederaan kepala, sepsis dan radang paru-paru didiagnosis sebagai antara punca kekerapan pesakit dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital KKM pada tahun 2011.
“Kadar kematian di hospital disebabkan oleh penyakit ini adalah masing-masing pada kadar 58.5 peratus bagi penyakit sepsis, 40.6 peratus (radang paru-paru) dan 25.2 peratus (kecedaraan kepala).
“Data terkini daripada laporan Pengawasan Negara ke atas Rintangan Antibiotik mendedahkan terdapat peningkatan terhadap rintangan kepada antibiotik luar untuk kes-kes pesakit yang biasa dilaporkan di hospital.
“Punca utama Rintangan Antimikrobial adalah penggunaan secara berlebihan antibiotik oleh doktor, antibiotik yang dijual di kaunter tanpa preskripsi dan permintaan antibiotik oleh pesakit,” jelasnya.
Menurutnya, kemunculan dan penyebaran rintangan antimikrobial yang sangat pantas memberi gambaran jelas bahawa KKM sedang menghadapi cabaran yang besar terhadap sistem penjagaan kesihatan dan mengancam keupayaan antimikrobial untuk merawat jangkitan yang kronik secara berkesan.
“Sebelum ini, rintangan antibiotik telah diatasi dengan pembangunan dan penggunaan antibiotik spektrum baharu yang lebih luas.
“Malangnya, kita kehabisan bekalan antibiotik yang sedia ada dan kita tidak ada antibiotik baharu yang dilihat mampu mengatasi masalah ini.
“Disebabkan perkara berkenaan, kita akan menghadapi satu risiko serangan jangkitan tanpa antibiotik yang berkesan,” jelasnya.
Jelasnya, daripada itu, Malaysia telah mengambil satu langkah keselamatan demi melindungi keberkesanan antimikrobial dengan memulakan Program ‘Antimicrobial Stewardship’ di semua pusat kemudahan kesihatan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan antibiotik secara bijaksana.
Bagi memastikan usaha bersepadu dalam mengawal penggunaan antibiotik dalam fasiliti kesihatan, KKM membangunkan satu Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan dan Protokol Antimikrobial Stewardship yang mana digunakan sebagai rujukan piawaian untuk mengurangkan kelaziman tahan antibiotik.
“Dengan peningkatan bilangan sepsis yang semakin membimbangkan, kes-kes yang melibatkan rintangan antimikrobial dan tibi, kami menyedari terapi sasaran dan pengesanan awal adalah kunci kepada penyelesaian untuk memberi rawatan yang lebih pantas dan tepat kepada pesakit sepsis, serta mengurangkan kadar rintangan antimikrobial.
“HQE menggunakan manual kaedah diagnostic mikrobiologi seperti Analisis Indeks Profil (API) dan Etest yang mana ianya memperutukkan lebih banyak masa dan terlalu bergantung kepada tafsiran manusia.
“HQE membuat keputusan untuk menaiktaraf sistem diagnosis makmal mikrobiologi dengan menggunakan mesin Mikrobiologi Automatik,” katanya.
Beliau menambah, selain menggunakan mesin berkenaan untuk mengurangkan kadar rintangan antimikrobial, ia juga dapat membantu HQE mengoptimumkan cara kerja makmal yang lebih tersusun.
“Perolehan keputusan yang cepat membolehkan ahli klinikal menghentikan terapi empirikal dan menetapkan terapi sasaran, memberikan hasil yang mana pesakit bertambah baik dan pengawasan antibiotik yang dipertingkatkan.
“Dalam jangka masa panjang, kami mengharapkan hasil yang lebih baik daripada keputusan diagnosis dan rawatan terhadap pesakit, mengoptimumkan gerak kerja dalam pengurusan pesakit, mengurangkan kapasiti atau bilangan hari untuk pesakit ditahan di wad, serta mengurangkan kadar kematian akibat daripada sepsis.
“Ia juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk menerima pakai amalan pengurusan yang minimum bagi menyelaraskan proses dan prosedur kerja dengan menggunakan penyelesaian yang dibekalkan oleh pihak Biomerieux,” katanya.
Hadir sama Pengarah HQE Dr Heric Corray dan Ketua Bahagian Patologi Negeri Sabah Dr Ahmad Toha Samsudin.