Anda di sini

Masalah dadah generasi muda serius

Advertisement
 Kamarlin (kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil salah sebuah kontinjen yang terlibat dalam acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Beaufort.

TAHNIAH: Kamarlin (kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil salah sebuah kontinjen yang terlibat dalam acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Beaufort.

Satu usaha proaktif diperlukan bagi memerangi ‘penjajahan baharu’ ini

BEAUFORT: Masalah penagihan dadah dalam kalangan generasi muda masa kini semakin membimbangkan, justeru satu usaha proaktif diperlukan bagi memerangi penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, senario berkenaan menunjukkan dadah menjadi trend ‘penjajahan baru’ terhadap golongan muda.

Katanya, berdasarkan Klasifikasi Taburan Penagih Dadah di seluruh negara dari tahun 1988 hingga 2015 menunjukkan seramai 413,754 penagih dadah telah mendaftar di pusat-pusat pemulihan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merekodkan sebanyak 76.1 peratus adalah penagih baharu dan sebahagian besarnya penagih muda yang secara produktif menyumbang sebanyak 73.4 peratus.

“AADK Sabah turut mencatatkan seramai 641 (84.5%) daripada 759 individu yang dikesan terlibat dadah bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini terdiri daripada belia berumur 19 hingga 39 tahun.

“Statistik ini secara jelas menunjukkan generasi muda masa kini merupakan golongan paling aktif terlibat dengan gejala ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Beaufort, di Dataran Bagandang Beaufort, kelmarin.

Turut kelihatan sempena majlis itu, Pegawai Daerah Beaufort Shaid Othman, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih, Pengarah AADK Sabah Bakri Bibi dan Presiden GPBPB Mazlan@Joehari Manan.

Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, penglibatan seluruh anggota masyarakat diperlukan untuk bersama pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Hari Anti Dadah Peringkat Kebangsaan Februari lalu telah mengisytiharkan 2016 sebagai tahun memerangi dadah.

“Pengisytiharan ini jelas satu peringatan supaya langkah tegas diambil bagi membendung gejala ini yang memerlukan peranan proaktif dan pelaksanaan holistik seluruh lapisan masyarakat.

“Ibu bapa dan keluarga juga adalah entiti paling kecil dalam komuniti yang turut memainkan peranan serius bagi memastikan anak-anak tidak terlibat dengan gejala ini,” katanya.

Terdahulu, pelbagai acara telah diadakan sempena sambutan berkenaan termasuklah acara perbarisan kontinjen.

Advertisement