TAWAU: Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang membabitkan agensi kerajaan dan pihak swasta perlu diteruskan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun berkata ia penting memandangkan melalui NBOS, pelbagai bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dijalankan secara terus kepada golongan sasar yang memerlukan.
“Melalui NBOS ini kita dapat melihat gandingan antara agensi kerajaan dan swasta memberi manfaat daripada segi perkhidmatan kepada masyarakat dan saya harap kerjasama seperti ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Bersama Hospital Besar Tawau yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Antidadah peringkat Daerah Tawau di sini semalam.
Dalam pada itu, Awang Buhtamam berkata, syarikat tersebut yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital, kini dalam perancangan untuk menawarkan bantuan kewangan bagi membantu anak-anak khususnya di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Ini antara CSR yang kami sedang rancang selain penjenamaan sebagai usaha menjadi peneraju kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan hospital yang lebih baik,” katanya. — Bernama