Anda di sini

Dua kaedah PPR dikaji dilaksana pada tahun depan

Advertisement
 Noh (tiga kanan) menandatangani banting PPR Kg Ketiau sebagai gimik pelancaran ketika melawat ke tapak projek berkenaan kelmarin.

DEMI KESEJAHTERAAN: Noh (tiga kanan) menandatangani banting PPR Kg Ketiau sebagai gimik pelancaran ketika melawat ke tapak projek berkenaan kelmarin.

PUTATAN: Dua kaedah baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) sedang dikaji untuk dilaksanakan tahun hadapan demi kesejahteraan rakyat yang memerlukan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, kaedah yang sedang dalam penelitian itu memerlukan kerjasama pihak swasta melaksanakan PPR dan kemudian dijual atau disewa secara bulanan.

“Sekiaranya perkara ini dapat dilaksana, PPR tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan tetapi masih mengekalkan dasar yang sedia ada.

“Kita hanya ingin mencari jalan bagi menyediakan PPR dengan cepat, banyak dengan kerjasama daripada pihak swasta,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja ke tapak PPR Kampung Ketiau, di sini kelmarin.

Beliau berkata, konsep yang kedua adalah bagaimana untuk mencari pendekatan bagi menyewakan PPR kepada orang ramai yang layak dan pada masa yang sama mereka membayar sewa berkenaan.

Katanya, ramai kalangan penyewa PPR yang ada kini tidak membayar sewa. Kaedah itu sedang dalam penelitian kementerian dan ia akan dilaksana pada tahun hadapan.

“Untuk Sabah, permintaan bagi rumah PPR sangat tinggi dan masih memerlukan sejumlah 18,538 unit secara keseluruhan.

“Pada ketika kini PPR yang sudah dilaksanakan adalah sebanyak 14,779 unit dan yang sedang dalam pelaksanaan adalah 6,978 unit, menjadikan jumlah keseluruhan PPR yang sudah dan sedang dilaksanakan di Sabah adalah 21,757 unit,” katanya

Menurutnya, di Putatan sahaja kerajaan membina 1,196 unit PPR termasuk 696 unit di Ketiau dan 500 unit di Meruntum.

Katanya, pemintaan PPR di Putatan sangat banyak yang mana unit dibina hanya kira-kira 1,000 tetapi pemohon PPR melebihi 5,000.

Noh berkata penyerahan kunci PPR di Putatan kepada pemilik hanya dilakukan selepas proses mendapatkan bekalan elektrik dan air diselesaikan.

“Penambahan pembinaan PPR di Sabah akan dilakukan secara berperingkat memandangkan masih banyak rumah setinggan yang wujud di sini.

“Keutamaan diberikan kepada rumah setinggan di sini, tetapi kerajaan negeri perlu membuat tapisan secara terperinci untuk memastikan mereka yang mendapat rumah PPR adalah yang layak sahaja.

“Oleh itu, kita meminta pihak kerajaan tempatan untuk mempamerkan senarai nama yang layak dalam tempoh tertentu supaya orang lain boleh nampak siapa yang berjaya dapat,” katanya.

Beliau juga berkata orang ramai yang melihat senarai itu sekiranya ternampak mereka yang tidak layak tetapi berjaya mendapatkan rumah PPR boleh membuat aduan dan pihak kementerian akan membuat semakan sama ada aduan itu benar atau sebaliknya.

“Dalam kementerian, ada dua konsep dalam PPR iaitu menyewakan kepada penghuni dan kemudian jual kepada mereka. Konsep yang satu lagi adalah menyewakan atau kita panggil transit yang mana penghuni hanya dibenar transit selama empat hingga lima tahun sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri.

“Kaedah ini membolehkan pemilik baharu tinggal di rumah berkenaan. Di Sabah, saya serahkan keputusan itu kepada kerajaan negeri sama ada mahu menggunakan konsep transit atau sewa beli kerana sabah mempunyai akta perumahan yang tersendiri,” katanya.

Advertisement