Anda di sini

Usaha lahir lebih ramai usahawan

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli//

 Narawie (dua kiri) menerima surat pelantikan sebagai panel Bank Rakyat daripada Muhamad Yusof (tengah) sambil disaksikan tetamu lain, semalam.

TERIMA PELANTIKAN: Narawie (dua kiri) menerima surat pelantikan sebagai panel Bank Rakyat daripada Muhamad Yusof (tengah) sambil disaksikan tetamu lain, semalam.

KUCHING: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Sarawak (PPK1MS) menandatangani surat pelantikan sebagai panel untuk urusan pembiayaan dan bantuan skim pinjaman modal keusahawanan.

Menurut Presiden PPK1MS Narawie Ibrahim, pelantikan tersebut merupakan salah satu usaha untuk membantu lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan Bumiputera yang berdaftar dengan PPK1MS membangunkan perniagaan yang diusahakan.

“Pelantikan ini membolehkan mana-mana ahli PPK1MS yang berhasrat memohon pembiayaan dan pinjaman daripada Bank Rakyat, mendapat rujukan dan sokongan daripada pihak persatuan.

“Selain itu, ini juga membolehkan segala pinjaman dan pembiayaan dapat diuruskan dengan lebih efisien dari segi pembayaran balik, ketelusan dan menepati sasaran,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo, semalam.

Pada masa sama, PPK1MS juga mahu menggalakkan usahawan-usahawan Bumiputera dan mereka yang belum menjadi ahli agar mendaftar nama dengan persatuan.

Ia adalah bertujuan supaya setiap usahawan berdaftar dapat menikmati pelbagai kemudahan dan peluang yang telah disediakan oleh pihak dan agensi kerajaan mengikut keperluan, ujarnya.

“Sebelum ini, PPK1MS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal Sarawak (UPUIH), Unit Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat sama untuk membangunkan para usahawan,” katanya.

Hadir pada majlis menandatangani surat pelantikan ialah Pengurus Bank Rakyat Cawangan Satok Muhamad Yusof Hashim, Bahagian Pembiayaan Peniaga Nur Nadiah Mohd Redzuan, ahli jawatankuasa PPK1MS Mohd Zain Peli, Dr Thomas Syafiq Abdullah serta Sahminan Sirat.

Advertisement