Anda di sini

Shell umum geran RM121,770 biayai tiga projek masyarakat

Advertisement

MIRI: Shell Malaysia (Shell) kelmarin mengumumkan peruntukan berjumlah RM121,770 bagi membiayai tiga projek pembangunan masyarakat dan pemuliharaan di sini bagi tahun ini.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada Geran Pembangunan Mampan (Geran SD) Shell berjumlah RM350,000 yang disumbangkan oleh syarikat minyak gergasi itu untuk usaha dan projek yang memberi kebaikan serta manfaat kepada masyarakat negara ini.

Pengarah Urusan Sarawak Shell Berhad (SSB) Simon Durkin berkata program tersebut yang diperkenal pada 2008, ditubuhkan untuk mewujudkan platform bagi membolehkan Shell berhubung dengan NGO tempatan dan pertubuhan berasaskan komuniti.

“Hari ini (kelmarin) Shell Malaysia menyampaikan lebih RM350,000 dana kepada enam NGO berbeza untuk membiayai projek mempromosi dan menyokong pemuliharaan alam sekitar dan kemampanan hidup di seluruh negara.

“Tahun ini Shell meraikan 125 tahun di Malaysia, Shell amat komited untuk tumbuh bersama, membangun dengan rapat dengan masyarakat di mana kami beroperasi,” kata Pengarah Urusan Sarawak Shell Berhad (SSB) Simon Durkin.

“Walaupun dalam masa-masa yang amat mencabar untuk industri tenaga, namun Shell kekal komited menyokong pembangunan negara dan komunitinya.

“Sejak diperkenal pada 2008, Geran SD telah menyumbang kepada sejumlah RM3 juta kepada pelbagai organisasi di seluruh negara dan akan terus melakukannya,” tambah beliau.

Seperti yang diikrarkan oleh Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo, syarikat itu akan terus melabur dalam pelbagai program sosial untuk 10 tahun akan datang yang dijangka mencecah sehingga RM125 juta.

Menerusi platform seperti ini juga, Shell akan mendapatkan pandangan daripada masyarakat di peringkat akar umbi di sekitar kawasan operasinya dan bagi memastikan manfaat daripada sumbangan mereka dirasai dan dinikmati masyarakat yang menjadi kumpulan sasaran projek.

Pada masa yang sama ia juga memanjangkan lagi komitmen Shell kepada pembangunan sosial dan ekonomi setempat.

Sementara itu, pada tahun ini sebanyak enam NGO terbabit akan membantu menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang dihadapai rakyat Malaysia setiap hari, seperti pencemaran air, mengkomposkan sisa buangan isi rumah dan pembelajaran STEM (sains, teknologi, pendidikan dan matematik).

Bagi bahagian Miri, Geran SD Shell bagi 2016 kali telah diberikan untuk projek Sains On Wheels bagi pembelajaran STEM Miri yang berjumlah RM51,150, Program Literasi Miri (RM10,620) dan projek kerjasama dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC), ‘From Beaches to Reefs’ yang bernilai RM60,000.

Manakala di Bintulu, projek yang menerima sokongan Shell ialah ‘Bintulu Impact Assessment’ sebanyak RM33,000, MASCAMP 2.0 di Pulau Mantanani (RM57,450), Projek Pemuliharaan Sungai Moyog di Kota Kinabalu, Sabah (RM40,000), Projek Kesedaran dan Pemuliharaan Paya Bakau di Selangor (RM60,000) dan projek kompos ‘From Garbage to Garden’ juga di Selangor yang berjumlah RM48,000.

Untuk peringkat bahagian Miri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting telah merasmikan majlis penyerahan geran projek tersebut.

Dalam ucapannya Ting berkata Shell amat sinonim dengan pembangunan dan kemajuan yang dicapai Miri sejak syarikat minyak antarabangsa itu bertapak di sini pada 1910.

“Masyarakat di Miri amat berterima kasih kepada Shell yang telah membawa banyak pembangunan kepada bandar ini, daripada sebuah bandar yang kecil menjadi sebuah bandar raya pada hari ini dengan bukti-bukti kemajuan yang dicapai dapat dilihat di sekeliling kita,” tambahnya.

Turut hadir Residen Miri Antonio Khati Galis dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Advertisement