Anda di sini

Mydin Samariang dibuka rasmi

Advertisement

 Ameer (tengah) bersedia untuk memotong reben sebagi simbolik penyempurnaan pembukaan rasmi Mydin Samariang, semalam.

KINI DIBUKA: Ameer (tengah) bersedia untuk memotong reben sebagi simbolik penyempurnaan pembukaan rasmi Mydin Samariang, semalam.

KUCHING: Rangkaian syarikat peruncit dan pemborong, Mydin Mohamed Holdings Bhd atau lebih sinonim dikenali sebagai Mydin, kini melebar sayapnya ke negeri ini dengan pembukaan rasmi cawangan pertamanya di Samariang, semalam.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pemilihan Samariang sebagai lokasi bagi cawangannya yang ke-22 di seluruh Malaysia itu mengambil kira keadaan sosioekonomi dan demografi masyarakat setempat.

“Bersesuaian dengan konsep menawarkan harga borong dan penjimatan sepanjang masa kepada pelanggan, kewujudan Mydin Samariang ini pasti dapat membantu warga setempat mendapatkan barangan keperluan dengan akses yang lebih mudah pada harga berpatutan.

“Secara tidak langsung ia juga dapat menjana ekonomi setempat sekali gus mempromosikan kawasan Samariang sebagai salah satu pusat untuk mendapatkan barangan secara borong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peramian pembukaan cawangan baharu Mydin itu, di Bandar Baru Samariang, di sini semalam.

Selepas perasmian cawangan Mydin Samariang, beliau turut mendedahkan terdapat dua lagi cawangan sama akan dibuka bertempat di Pusat Beli-Belah CityOne dan di Vista Tunku (bertentangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg) masing-masing pada bulan Disember 2016 dan Januari 2017.

Dengan pembukaan ketiga-tiga cawangan itu, Ameer memberitahu, ia pada masa sama membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di negeri ini.

“Secara umumnya pembukaan tiga buah cawangan Mydin di negeri ini (Samariang, Vista Tunku dan CityOne) bakal menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan merangkumi jawatan di bahagian pasar raya dan Mall.

“Keadaan ini juga pastinya dapat mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini khasnya, sekali gus menjadi titik tolak kepada kakitangan sedia ada untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman kerja yang berkaitan dengan bidang peruncitan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian itu, Ameer turut mendedahkan, nilai pelaburan untuk pembinaan Mydin Samariang adalah bernilai RM70 juta, diikuti Mydin CityOne bernilai RM25 juta dan Mydin Vista Tunku (RM180 juta).

Selain itu, beliau juga memberi keyakinan bahawa konsep perniagaan Mydin adalah berasaskan pematuhan syariah di mana semua barangan yang dijual adalah halal.

“Kita juga akan memastikan tidak akan ada barangan makanan yang tidak halal dijual dan semua peniag juga mestilah mematuhi syariah.

“Ini juga merupakan salah satu cara yang terbaik sebagai daya tarikan yang kuat untuk menarik kehadiran pelanggan ke premis kita,” jelasnya.

Bagi Mydin Samariang, terdapat pelbagai fasiliti disediakan antaranya surau lelaki dan wanita, perkhidmatan mesin wang automatik (ATM), 454 lot parkir kenderaan termasuk untuk orang kurang upaya (OKU), bilik penyusuan bayi, baby stroller, kerusi roda, medan selera serta kemudahan beli-belah yang kondusif untuk keselesaan pelanggan.

Untuk sebarang perkembangan, aktiviti dan promosi Mydin, sila layari laman sesawang di pautan www.mydin.com.my atau Facebook di www.facebook.com/mydinmalaysia atau Twitter di www.twitter.com/mydinmalaysia atau Instagram di www.instagram.com/mydinmalaysia.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Mydin Datuk Murad Ali Mydin dan Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) Richard Curtis.

Advertisement