Anda di sini

Batu Kawan syarikat tunggal M’sia Fab 50

Advertisement

Ketepikan syarikat ada nisbah hutang lebih 50% atau separuh sahamnya milik k’jaan

SINGAPURA: Batu Kawan Bhd menjadi syarikat tunggal dari Malaysia yang termasuk dalam senarai 50 Terbaik (Fab 50) majalah Forbes Asia tahun ini.

Batu Kawan adalah syarikat pegangan pelaburan dengan anak syarikat dan sekutunya terlibat dalam pengeluaran kimia, pengangkutan, pelaburan hartanah, pegangan pelaburan serta perladangan.

Dalam satu kenyataan semalam, Forbes Media berkata, Fab 50 dipilih daripada 1,524 syarikat awam di rantau ini dengan pendapatan tahunan sekurang-kurangnya AS$1.7 bilion (AS$1=RM4.03).

Untuk sembilan bulan berakhir 30 Jun 2016, Batu Kawan sudah pun mencatat pendapatan kira-kira AS$3.05 bilion.

Forbes Media berkata, syarikat terlibat dianalisis menggunakan lebih sedozen langkah kewangan dan senarai itu mengetepikan syarikat yang mempunyai nisbah hutang lebih 50 peratus atau di mana kerajaan memiliki sekurang-kurangnya separuh daripada sahamnya.

Keputusannya ialah syarikat yang terbaik di rantau ini, tambahnya.

Forbes Media juga berkata, senarai itu adalah penghormatan tahunan yang menonjolkan sebahagian bintang paling cerah di rantau Asia Pasifik.

Tahun ini menandakan edisi ke-12 senarai Fab 50 dan 272 syarikat yang tersenarai di dalamnya sekurang-kurangnya sekali, mencerminkan perubahan keadaan perniagaan di rantau Asia Pasifik.

Forbes Media berkata, Alibaba Group bukan sahaja tersenarai buat pertama kali tahun ini di kalangan syarikat besar disenarai awam terbaik rantau ini, ia juga mempunyai nilai pasaran tertinggi serta mengatasi pelbagai metrik lain.

Sebanyak 21 peserta baharu dalam senarai berkenaan tahun ini, katanya.

Untuk enam tahun berturut-turut, syarikat dari China menguasai senarai Fab 50, dengan 22 syarikat.

India mempunyai jumlah kedua tertinggi iaitu lapan syarikat, turun daripada 10 tahun lepas dan Korea Selatan mencatat yang ketiga tertinggi, iaitu lima, lebih satu syarikat daripada tahun lalu.

Hong Kong juga muncul semula tahun ini dengan tiga syarikat baharu, kata Forbes Media.

Syarikat pertama Vietnam tersenarai dalam Fab 50 ialah Vietnam Dairy Products, manakala Filipina mempunyai tiga syarikat, berbanding dua sebelum ini.

Taiwan dan Jepun msing-masing diwakili dua syarikat dengan Thailand dan Malaysia, masing-masing satu.

Australia kembali tersenarai dengan syarikat farmaseutikal bioteknologi CSL, selepas tiada wakil tahun lepas.

Sumber Alfaria Trijaya, pengendali rantaian Alfamart kekal sebagai syarikat tunggal dari Indonesia tahun ini, manakala tidak ada syarikat Singapura tersenarai.

Senarai penuh boleh didapati di www.forbes.com/fab50 serta isu terbaru Forbes Asia yang berada di pasaran sekarang. – Bernama

Advertisement