Anda di sini

Semakin banyak syarikat Singapura ceburi perniagaan di Sarawak, Sabah

Advertisement
 Sim (duduk tengah) bersama pegawai kanan kerajaan Singapura, serta ahli-ahli Exco MCCCI. Turut kelihatan Lee (duduk tiga kiri), Adam ( dua kiri) dan Sebastian (tiga kanan) di Miri kelmarin.

KERJASAMA: Sim (duduk tengah) bersama pegawai kanan kerajaan Singapura, serta ahli-ahli Exco MCCCI. Turut kelihatan Lee (duduk tiga kiri), Adam ( dua kiri) dan Sebastian (tiga kanan) di Miri kelmarin.

MIRI: Situasi kini menyaksikan semakin banyak syarikat dari Singapura menceburi perniagaan di Sarawak dan Sabah sejak kebelakangan ini sekali gus membuktikan terdapat peluang luas boleh direbut dan potensi pasaran memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Oleh itu, kerajaan Singapura tidak sabar meneroka lebih lanjut peluang-peluang pasaran dan pelaburan yang ada di negeri ini khususnya peluang perniagaan berdasarkan landskap pelancongan yang ada di sini.

Menteri Kanan Singapura merangkap Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia serta Menteri Kewangan Singapura, Sim Ann berkata Singapura yakin ada ruang kerjasama lebih erat antara Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dengan pihak berkuasa pelancongan Sarawak meningkatkan hubungan pelancongan dua hala memberi situasi ‘menang-menang’ kedua-dua pihak.

“Selain pelancongan, saya difahamkan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Miri (MCCCI) juga berminat bertukar-tukar pandangan perkembangan dan peluang dalam sektor pertanian, pendidikan tinggi dan penjagaan kesihatan.

“Kami amat gembira mendengar lebih lanjut kepentingan perniagaan yang berpangkalan di Miri dan belajar bagaimana dapat memainkan peranan dalam perkembangan menarik di Singapura,” katanya pada sidang dialog dengan ahli-ahli jawatankuasa Dewan di sini kelmarin.

Beliau mengakui syarikat-syarikat utama Singapura sekian lama tertumpu di Semenanjung Malaysia namun di sebalik setuasi itu satu kumpulan kecil beralih ke Sarawak dan Sabah menerokai peluang perniagaan di kedua-dua negeri ini.

Antara perniagaan berpangkalan di Singapura yang menjejakkan kaki di sini adalah Pezzo Pizza dan Charles & Keith melalui francais dan usaha sama dengan rakan kongsi tempatan.

“Dari segi infrastruktur, OM Holdings memiliki dan mengendalikan kemudahan peleburan logam di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu dan firma perunding seperti Surbana Jurong melakukan projek perancangan mega bagi pelanggan di Malaysia Timur.

“Manakala Ascott Limited berpangkalan di Singapura juga aktif mencari peluang seluruh Sarawak dan membangunkan projek perkhidmatan apartment baharu dijadual dibuka di Miri pada 2018,” jelasnya.

Sim memberitahu Malaysia masih kekal sebagai ‘pangkalan’ pertama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Singapura berkembang ke negara-negara Asia lain kerana kedudukan geografi dan persamaan dalam budaya dan bahasa.

Sementara itu, Pengerusi MCCCI, Lee Khoi Yun berkata Miri mempunyai banyak ‘produk’ ditawarkan terutamanya dalam bidang pelancongan.

Lee berkata, Miri dikenali bandar raya peranginan adalah pintu masuk ke Tapak Warisan Dunia – Taman Negara Gunung Mulu, terumbu karang Luconia dan pertandingan serta kejohanan memancing laut dalam masih dan dibangunkan.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii turut hadir pada dialog itu menyokong idea terdapat potensi pelancongan luas di Miri perlu diterokai.

Yii berkata, Miri sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain terutamanya Singapura.

“Miri memerlukan penggerak ekonomi dan itu adalah pelancongan. Singapura adalah dalam fikiran kita kerana berkongsi budaya sama dengan Singapura.

“Oleh itu, saya cukup yakin rakyat Singapura datang ke sini berasa sangat senang seperti rumah di Miri,” katanya.

Yii turut menggesa perwakilan rakyat Singapura yang disertai Sim pada dialog itu membantu Miri membuat bandar tempat pelancongan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sidang dialog boleh diadakan di antara Miri dan Singapura khususnya dalam bidang ekonomi.

Katanya, melalui dialog seperti itu peniaga dan usahawan dari Singapura tahu lebih mendalam mengenai ‘potensi’ yang ada di Miri untuk melabur.

“Selain pelancongan, saya pasti terdapat kawasan-kawasan lain seperti peluang perniagaan yang Singapura boleh membantu kami.

“Ia akan menjadi besar jika kita boleh mempunyai lebih banyak perbincangan dan dialog dengan pihak mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting dan perwakilan Sim termasuk pegawai Kerajaan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan International Enterprise (IE) Singapura.

Advertisement