Anda di sini

Infrastruktur, projek tenaga pacu pertumbuhan Sarawak

Advertisement

Pasaran modal hutang Malaysia akan memainkan penting

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd melihat infrastruktur besar dan projek tenaga akan memacu pertumbuhan dan peluang pembiayaan bagi Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Foo Su Yin berkata pasaran modal hutang Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membiayai kemajuan ekonomi Sarawak.

“Sejak 1993, RAM secara kumulatif membuat penarafan ke atas kira-kira RM31 bilion program bon dan sukuk daripada penerbit yang berkaitan dengan Sarawak (dengan berbaki kira-kira RM18 bilion pada masa ini),” katanya dalam satu kenyataan.

Sektor tenaga menjana banyak transaksi dan menyumbang kira-kira 85 peratus daripada bon dan sukuk berkaitan Sarawak.

Baru-baru ini, Sarawak Hidro Sdn Bhd yang diberikan penarafan oleh RAM, mengumpul RM5.5 bilion sukuk bagi membiayai semula sebahagian daripada hutang berkaitan Empangan Bakun.

“Ini merupakan terbitan sukuk korporat terbesar diberi penilaian dalam pasaran modal hutang Malaysia setakat ini, tahun ini.

“Bagi pembangunan infrastruktur di Sarawak, ia semakin mendapat momentum, dan pasaran modal hutang Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam proses ini,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif RAM Promod Dass.

RAM juga menyatakan bahawa syarikat pembinaan, seperti Cahya Mata Sarawak Bhd akan memperoleh manfaat daripada projek berimpak tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang. — Bernama

Advertisement