Anda di sini

Uganda pelawa syarikat Malaysia sertai projek bandar Eko-Satelit di Kampala

Advertisement

KUALA LUMPUR: Uganda mahu memperkukuh hubungannya dengan Malaysia, dan untuk itu mempelawa kontraktor tempatan menyertai pembangunan hartanah negara itu, Bandar Raya Eko-Satelit Kampala.

Menteri Pembangunan Bandar Uganda, Musumba Isaac, berkata kerajaan negara itu besetuju menawarkan hutan seluas 404.686 hektar di Daerah Mukono, kira-kira 20 kilometer dari Bandar Raya Kampala, untuk pembangunan bandar terbabit.

“Tujuan lawatan ke sini adalah untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara dalam perdagangan dan pelaburan, dan untuk itu, mempelawa Malaysia untuk terlibat sama dalam pembangunan hartanah kami.

“Kami yakin kedudukan ahli perniagaan yang stabil dan matang di negara ini dapat membantu membangunkan bandar raya kami,,” katanya pada sidang media pada seminar setengah hari mengenai projek terbabit, anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Isaac berkata kerajaan Uganda menyasarkan untuk memulakan pembangunan itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

MATRADE dengan kerjasama Malaysian Inc, mempelawa lebih 20 pemaju, kontraktor, dan penyedia perkhidmatan profesional tempatan, berkongsi pengalaman dan kepakaran masing masing ke atas kejayaan projek pembangunan bercampur di Malaysia yang boleh dilaksanakan di Uganda.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Dzulkifli Mahmud berkata banyak yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada Uganda, menerusi produk dan perkhidmatan menggunakan teknologi moden.

“Penyertaan dalam pembangunan ini sangat penting bagi kami memandangkan kerajaan Malaysia menggalakkan sektor swasta untuk memain peranan utama mengeksport perkhidmatan seperti seni bina dan perancangan bandar.

“Seminar ini dianjurkan bagi menyalurkan maklumat mengenai pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam projek-projek pembangunan bercampur, selain untuk menghebahkan mengenai peluang yang boleh diterokai oleh kontraktor tempatan di Uganda,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Perdagangan dan Pelaburan Pesuruhjaya Tinggi Uganda di Kuala Lumpur, Datuk Dr Zainul Azizan berkata kerajaan Uganda merancang pembangunan seperti mini Putrajaya.

“Pembangunan bercampur itu akan meliputi pembinaan sekolah, hospital dan pejabat kerajaan,” katanya. — Bernama

Advertisement