Anda di sini

CMS Infra Trading optimumkan perniagaan lampu LED tugas berat

Advertisement

Tandatangani Perjanjian Eksklusif Agensi dengan IPV Distributors Sdn Bhd

KUCHING: CMS Infra Trading Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Eksklusif Agensi dengan IPV Distributors Sdn Bhd untuk membekal, menghantar, memasang dan mengoperasikan IPVLED Diod Pemancar Cahaya (LED) Tugas Berat untuk pasaran Sarawak sahaja.

CMS Infra Trading ialah syarikat usaha sama Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

CMS dalam kenyataannya berkata objektif perjanjian tersebut adalah untuk mewujudkan, membangunkan dan mengoptimumkan perniagaan lampu LED tugas berat di Sarawak dan Sabah, terutama dalam pasaran khusus seperti ‘High Mast’, ‘High Bay’, stadium dan lampu-lampu jalan.

CMS Infra Trading bertindak sebagai ejen dan pengedar pelbagai jenis produk dan perkhidmatan berkaitan pengurusan air, termasuk jenis saluran paip seperti paip polietilena ketumpatan tinggi (HDPE), besi mulur, saluran paip berlapisan simen keluli lembut (MSCL), saluran paip dan peralatan berlapisan poliuretana keluli lembut poliuretan (MSPU), bahan kimia pelbagai rawatan air, serta pemasangan saluran paip air dan sistem pembersihan takungan.

IPV Distributors pula terlibat dalam pengedaran, pemasaran, pemasangan & pelengkapan peralatan elektrik, termasuk peralatan lampu untuk Pasaran Asia Tenggara.

Datuk Richard Curtis, Pengarah Urusan Kumpulan CMS, menandatangani perjanjian itu mewakili CMS Infra Trading dan bagi pihak Ibrahim Hashim yang juga Pengerusi IPV Distributors, mewakili syarikat itu.

“Inisiatif ini juga untuk menyokong seruan Kerajaan agar Malaysia menjadi Hab Teknologi Hijau menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Antara kelebihan LED ialah ia merupakan lampu mesra alam tanpa merkuri atau gas berbahaya yang lain, tiada pengeluaran sinaran UV yang berbahaya, efisien dari segi tenaga dan penyenggaraan yang rendah.

CMS berkata LED adalah industri utama di Malaysia selari dengan trend dunia yang kini memilih teknologi hijau dan penjimatan tenaga. — Bernama

Advertisement