Anda di sini

Sejarah politik ajar UMNO Sabah utamakan perpaduan, kesepakatan

Advertisement

SANDAKAN: Sejarah politik di negeri ini mengajar UMNO  Sabah untuk mengutamakan perpaduan dan kesepakatan dalam perjuangan parti itu di negeri ini, kata Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata perpaduan dan kesepakatan yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah membolehkan negeri itu terus menjadi simpanan tetap kepada BN.

“Kami pernah hilang kuasa menyebabkan kami lemah dan kalah dalam pilihan raya.

“Kami sedar perpaduan dan kerjasama penting. Jika ada masalah kami bincang dan menyelesaikan masalah itu secara muafakat,” katanya pada majlis perasmian serentak persidangan perwakilan UMNO Zon Lima yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Serbaguna Sri Libaran di sini, semalam.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata UMNO Sabah yang sudah berusia 25 tahun tidak akan goyah dengan cubaan pihak tertentu untuk memecahkan sokongan rakyat terhadap parti itu di negeri ini.

Katanya cubaan itu termasuklah penubuhan parti baharu oleh bekas pemimpin UMNO yang beliau yakin akan ditolak oleh rakyat Sabah.

Musa berkata rekod baik BN dalam membangunkan negeri ini dan membela nasib rakyat menjadi faktor sokongan padu rakyat Sabah kepada BN dan menolak kewujudan parti baharu.

“Parti baharu ini tiada jaminan mampu menandingi UMNO dan BN Sabah dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini,” katanya. — Bernama

Advertisement