Anda di sini

Ibu bapa enggan beri vaksin kepada anak fenomena membimbangkan

Advertisement

PUTATAN: Fenomena ibu bapa di negeri ini yang enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka adalah amat membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi berkata, perbuatan ini bukan sahaja berbahaya kepada anak-anak, tetapi boleh menjadi punca merebaknya penyakit berbahaya.

“Pada tahun ini, jumlah ibu bapa yang menolak vaksin di Sabah semakin meningkat sehingga menjadi 27 orang berbanding tahun lepas yang hanya 18 orang.

“Ibu bapa ini berpendapat bahawa imunisasi anak mereka boleh diperoleh secara semula jadi malah ada yang meragui status halal kandungan vaksin,” katanya pada Majlis Perasmian Kempen Imunisasi Peringkat Negeri Sabah 2016, di sini kelmarin.

Walau bagaimanapun Dr Christina berkata, berdasarkan Tinjauan Mobiditi Kebangsaan NHMS mengenai imunisasi di Sabah bermula Feb hingga April lepas, liputan imunisasi tetap menunjukkan peningkatan sehingga tahap 90 peratus ke atas.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN Sabah) akan terus meningkatkan pendekatan kempen kesedaran bagi mengubah persepsi negatif berkaitan imunisasi di setiap peringkat mahupun kawasan.

“Buat masa ini, pemberian imunisasi bukan satu paksaan, tetapi ia adalah perkhidmatan kesihatan yang mengikut dasar kerajaan iaitu memberi galakan kepada ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi yang lengkap.

“Kita juga terbuka mendengar dan membincangkan permasalahan mereka (ibu bapa) sekiranya mengalami kesusahan seperti berkaitan logistik kerana Kementerian Kesihatan kini mempunyai klinik bergerak bagi memudahkan pergerakan agar tidak ada kanak-kanak yang terabai untuk mendapatkan imunisasi,” katanya.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan saringan status imunisasi dalam kalangan murid tahun empat bermula awal tahun depan berikutan kejadian kes difteria yang berlaku baru-baru ini disebabkan gagal mendapatkan vaksin lengkap.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak mangsa difahamkan bukan golongan antivaksin tetapi mengalami masalah mendapatkan perkhidmatan kesihatan disebabkan isu sosioekonomi sedangkan program imunisasi adalah percuma.

Justeru katanya, selain masyarakat perlu mengambil langkah positif dan proaktif, warga JKN Sabah juga akan sentiasa berusaha memastikan keperluan penjagaan kesihatan dibekalkan dengan baik dan mencukupi.

Terdahulu, hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna, Pegawai Kesihatan Kawasan Penampang merangkap Pengerusi Pelaksana Kempen Imunisasi Peringkat Negeri Sabah Dr Rosila Yahaya dan Guru Besar SK Petagas Awang Lai.

Advertisement