Anda di sini

Henti kemasukan nelayan asing di perairan Sabah

Advertisement
 Ahli Persatuan Pemancing KK Pantai Barat Hong (dua kanan) menunjukkan gambar aktiviti pukat tunda secara haram di Mengalum.

HENTIKAN: Ahli Persatuan Pemancing KK Pantai Barat Hong (dua kanan) menunjukkan gambar aktiviti pukat tunda secara haram di Mengalum.

Nelayan Vietnam ceroboh, pasang pukat tunda secara haram

KOTA KINABALU: Persatuan Pemancing Kota Kinabalu kawasan Pantai Barat mahu kerajaan negeri menghentikan kapal pukat tunda asing daripada memasuki perairan Sabah selepas beberapa orang nelayan Vietnam dipercayai menceroboh dan memasang pukat tunda secara haram di perairan Mengalum di Pantai Barat Sabah.

Presiden Persatuan Pemancing Kota Kinabalu Pantai Barat Simon Hong berkata, nelayan Vietnam berkenaan bukan sahaja memasang  pukat tunda secara haram di perairan Sabah malahan mereka juga dipercayai mempunyai lesen tempatan dan perkara ini dianggap sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Melihat insiden yang berlaku pada sekitar 8 dan 9 Ogos lalu, kami segera melaporkan kejadian kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 11 Ogos lalu.

“Empat hari kemudian, beberapa ahli kami kembali ke Mengalum dan melihat beberapa bot tunda Vietnam yang mempunyai lesen tempatan ‘MK’ di sisi kapal mereka.

“Kita juga melihat kapal itu menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang perikanan di perairan kita,” katanya pada sidang media, di sini kelmarin.

Menurut Hong, kaedah yang digunakan oleh nelayan Vietnam adalah dengan menggunakan pukat tunda tunggal yang dihubungkan dengan dua buah kapal.

“Kedua-dua kapal itu akan menarik pukat tunda sejauh beberapa batu untuk membolehkan mereka mengumpul tangkapan yang banyak dalam satu masa,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti itu tidak diamalkan di Sabah.

“Apa yang memeranjatkan kami adalah kapal Vietnam berkenaan mempunyai lesen tempatan MK yang tidak diketahui diluluskan oleh siapa.

“Kita berharap pihak berkenaan menyiasat perkara ini.

“Kita juga menyeru kerajaan negeri untuk menghalang kemasukan pukat tunda asing daripada memasuki perairan kita.

“Jika aktiviti secara haram itu tidak dihentikan ia akan menyebabkan kerugian besar terhadap ekonomi negara kita,” katanya.

Advertisement