Anda di sini

TDM dengam TNI-AD bincang tambah dua pos kawalan

Advertisement

TAWAU: Usaha mewujudkan tambahan dua pos kawalan bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia –Angkatan Darat (TNI-AD) di Sabah dan Kalimantan masih lagi dalam proses perancangan.

Panglima 5 Briged TDM Brig Jen Dato’ Pahlawan Mohd Anuar Rijaludin berkata hasrat itu masih sedang diperhalusi Malaysia dan Indonesia sebelum langkah merealisasikannya dibuat.

“Bukan senang hendak membuat pos kawalan bersama melibatkan dua negara berbeza, kita terpaksa ambil masa namun kita optimis rancangan ini akan dapat dijalankan,” katanya.

Mohd Anuar ditemui pada sidang media, sempena pembukaan aktiviti Bilateral Malaysia-Indonesia (MALINDO) 2016, Patroli Terkoordinasi (PATKOR) di Pos Serudong di sini, kelmarin.

Hadir sama Kepala Staf Komando Staf Militer- Korem (KASREM) 091/ Aji Surya Natakesuma (ASN) Kol Arh Rikas Hidayatullah, serta pegawai kanan dan anggota TDM dan TNI.

Menurut Arh Rikas, masih ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan antara kedua-dua belah pihak sebelum dua pos kawalan bersama yang baharu terbabit dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, ketika ditanya faktor yang menyebabkan usaha itu belum dapat dilaksanakan lagi, tidak ada sebarang perkongsian lanjut yang didedahkan oleh kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, rancangan menambah pos kawalan bersama TDM dan TNI itu diumumkan kepada media pada 2014 yang dikatakan hendak dibina di Sabah dan Kalimantan bermula 2015.

Langkah penambahan pos kawalan baharu bertujuan mengukuhkan kawalan di sempadan dua negara khususnya dalam menangani isu keselamatan dan jenayah rentas sempadan di darat.

Advertisement