Anda di sini

Pertumbuhan Malaysia masih sihat: PM

Advertisement

Inflasi telah kekal rendah walaupun sentiasa menghadapi pelbagai cabaran global

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Malaysia masih sihat dan jauh lebih tinggi daripada purata global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memetik agensi penarafan kredit, FitchRatings yang mengekalkan penarafan negara ‘A-’ dengan prestasi stabil, Perdana Menteri berkata, ia mencerminkan asas-asas ekonomi yang kukuh.

“Inflasi telah kekal rendah walaupun menghadapi pelbagai cabaran global.

“Tetapi masih banyak lagi untuk dilakukan bagi mencapai matlamat 2020 kita,” katanya pada Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Khazanah di sini, kelmarin.

Pelbagai program pada majlis makan malam itu ditangguhkan bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan antara jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan musuh utamanya, Lin Dan dari China dalam pertandingan separuh akhir perseorangan lelaki dari Rio de Janeiro.

Najib berkata, transformasi dilakukan cendekiawan Yayasan Khazanah mencerminkan transformasi nasional yang telah diwujudkan untuk Malaysia.

“Model Ekonomi Baru kita adalah untuk negara yang lebih kompetitif, produktif dan mesra pelabur.

“Di bawah Program Transformasi Nasional atau NTP, Program Transformasi Ekonomi itu berusaha ke arah Malaysia mencapai status ekonomi tinggi menjelang 2020.

“Penekanan Program Transformasi Kerajaan adalah meningkatkan pelaksanaan dan memastikan kita meletakkan keperluan rakyat di depan. Kita telah mengambil langkah-langkah yang berani dan inovatif.

“Sesetengahnya seperti rasionalisasi dan penghapusan subsidi serta pengenalan cukai barang dan perkhidmatan adalah tidak popular, tetapi perlu,” tambahnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai inisiatif kerajaan yang menyasarkan semua lapisan masyarakat, kini menunjukkan hasil.

Menurutnya, isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah telah mengalami kadar pertumbuhan kompoun sebanyak 12 peratus.

Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia, tambahnya, bukan sahaja memanfaatkan mereka yang menerimanya, tetapi juga kesan yang baik ke atas ekonomi berikutan kesan pengganda.

“Saya gembira untuk menyatakan yang sekumpulan 35 ahli ekonomi Britain terkenal telah menulis surat terbuka dalam sebuah akhbar Britain di mana mereka mengumumkan yang model pembayaran ini adalah jauh lebih baik untuk merangsang pertumbuhan daripada pemotongan kadar faedah,” katanya.

Najib berkata, telah banyak dicapai dalam beberapa tahun lepas.

“Sejak Program Transformasi Nasional dilancar pada 2010, pendapatan negara kasar telah meningkat hampir 50 peratus dan 1.8 juta pekerjaan baharu diwujudkan.

“Kadar pertumbuhan produktiviti buruh tahunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 mulai 2011 hingga 2015 adalah 2.3 peratus. Tetapi kita mahu melakukan lebih baik lagi dan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 mulai 2016 hingga 2020 ialah 3.7 peratus,” tambah beliau. — Bernama

Advertisement