Anda di sini

Pemikiran futuristik diperlukan: Irwan

Advertisement

Selain bertindak pantas jika mahu kekal bertahan dalam dunia sangat kompetitif

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu berfikiran futuristik dan bertindak pantas sekiranya mahu kekal bertahan dalam dunia yang sangat kompetitif ketika ini, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pemikiran futuristik memerlukan individu untuk mula berfikir luar daripada kebiasaan dengan keupayaan menjangka.

Mereka juga tidak mengehadkan diri daripada melakukan percubaan dan ujian, bukan hanya mewujudkan penanda aras malah menyasarkan lonjakan besar untuk membawa perubahan berterusan, katanya.

“Negara perlu menyalurkan usaha ini ke arah inovasi dan kreativiti, meningkatkan keupayaan teknologi atau menyesuai dengan teknologi sepadan dari luar negara.

“Ramai rakyat Malaysia, terutama generasi muda, terlibat dalam perniagaan yang menggunakan teknologi, kita perlu mewujudkan ekosistem untuk memajukan mereka.

“Kita perlu menggalakkan lebih ramai generasi muda menyertai keusahawanan, terutama berkaitan teknologi sekaligus kita boleh menjadi lebih kompetitif,” katanya di luar Persidangan Pengurusan Masa: Selepas 2020 selama sehari di sini, semalam.

Persidangan yang dihadiri 180 penuntut pascasiswazah anjuran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu bertujuan menyediakan pandangan mengenai tawaran masa depan dan bagaimana untuk bersedia menghadapi risiko serta peluang.

Irwan berkata, negara lain seperti Singapura, Thailand dan Vietnam, ketika ini melaksanakan usaha tranformasi sama seperti Malaysia.

“Sekiranya kita tidak mendahului, tidak cukup pantas, negara ini akan ketinggalan dari segi pembangunan dan kemakmuran,” katanya.

Irwan mengambil contoh perkhidmatan pengangkutan yang mendapat sambutan, ‘Uber’, perlu dikawal selia supaya kedudukannya tidak menjejaskan perkhidmatan teksi atau mana-mana pihak.

“Sebab itu kita memperkenalkan peraturan sekali gus mewujudkan persaingan saksama kepada teksi,” katanya.

Beliau berkata selain itu, perkhidmatan teksi perlu lebih cekap lagi kompetitif, dan jika pemandu teksi menggunakan aplikasi seperti ‘Uber’, mereka akan mendapat sambutan ramai.

“Aplikasi teknologi dan pembayaran seperti ‘Uber’ merupakan perkhidmatan yang cekap dan pantas… inilah yang rakyat mahu.

“Negara ini berkembang dengan pantas dan teknologi kerap berubah.

Jika pemandu tidak dapat bersaing, mereka tidak perlu bimbang kerana boleh beralih kepada ‘Uber’,” katanya.

Irwan berkata kerajaaan mungkin membantu pemandu teksi dengan bantuan tertentu supaya mereka tidak ketinggalan.

“Namun, jika kita menamatkan ‘Uber’, kecanggihan teknologi lain di negara ini akan terbantut,” katanya dengan mengambil contoh teknologi kewangan (fintech) dalam perbankan.

Beliau berkata pengawal selia perlu menyediakan undang- undang dan peraturan dengan segera, jika tidak negara akan ketinggalan.

“Pengawal selia Malaysia, sama ada dalam perbankan, atau sektor lain perlu berubah seiring kepantasan masa dan teknologi,” katanya.  — Bernama

Advertisement