KOTA KINABALU: Kesedaran mengenai penjagaan luka perlu disebar secara meluas kepada khalayak umum bagi memberi pemahaman rawatan terbaik tanpa mengakibatkan komplikasi yang lebih serius.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi berkata, usaha ini amat penting disebabkan segelintir masyarakat masa kini terlalu memandang ringan penjagaan luka tanpa mendapat rawatan lanjutan.
“Kita sememangnya sudah mewujudkan akses penjagaan luka iaitu dengan tertubuhnya jawatankuasa serta pasukan penjagaan luka di beberapa hospital negeri ini.
“Namun, orang awam juga perlu mengambil tahu penjagaan luka bagi mengelakkan kejadian sama berulang atau lebih membimbangkan jika luka dialami pesakit mengalami jangkitan sehingga memerlukan kos rawatan yang mahal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Penjagaan Luka Borneo Utara 2016, di sini kelmarin.